KUALA LUMPUR: Ketua Penerangan BERSATU, Datuk Wan Saiful Wan Jan, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen hari ini, atas dua pertuduhan meminta dan menerima rasuah berjumlah RM6.9 juta membabitkan projek Jana Wibawa bernilai RM232 juta pada tahun lalu.
Bagaimanapun, Wan Saiful, 48, yang juga Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Pulau Pinang, mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dikemukakan terhadapnya di hadapan Hakim, Azura Alwi.
"Saya mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan," katanya ringkas.
Berdasarkan pertuduhan, Wan Saiful didakwa meminta wang daripada Lian Tan Chuan, sebagai dorongan membantu syarikat Nepturis Sdn Bhd mendapatkan projek Central Spine Road: Sertik Ke Persimpangan Lebuhraya Pantai Timur daripada Kerajaan Malaysia, secara pra kelayakan bernilai RM232 juta di Royal Lake Club, Taman Tasik Perdana, April tahun lalu.
Dia juga juga didakwa menerima suapan RM6.9 juta menerusi akaun CIMB Bank Berhad milik syarikatnya iaitu WSA Advisory Group Sdn Bhd daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik syarikat Nepturis Sdn Bhd.
Ia sebagai upah membantu syarikat terbabit mendapatkan surat setuju terima projek sama di CIMB Bank Berhad cawangan Bukit Tunku, di sini, antara 8 Julai hingga 30 September 2022.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Akta 694) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta.
Sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjarakan sehingga maksimum 20 tahun, denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin, memohon Wan Saiful diikat jamin antara RM500,000 hingga RM1 juta.
"Jumlah itu munasabah kerana kesalahan itu adalah serius dan kami mencadangkan tertuduh dikenakan syarat tambahan iaitu menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melaporkan diri di pejabat SPRM Putrajaya pada minggu pertama setiap bulan.
"Kami mengakui tertuduh tidak mempunyai risiko untuk melarikan diri dan memberi kerjasama kepada SPRM sepanjang siasatan dijalankan," katanya.
Bagaimanapun, peguam bela Wan Saiful, Datuk Hisyam Teh Poh Teik, memohon agar anak guamnya diikat jamin di antara RM200,000 hingga RM300,000.
"Jaminan untuk pastikan kehadiran di mahkamah dan seperti dikatakan oleh pembelaan bahawa tertuduh tiada risiko larikan diri. Dua akaun bank Wan Saiful sudah dibekukan.
"Tertuduh memberi kerjasama ketika dipanggil beberapa kali oleh SPRM dan jaminan RM200,000 hingga RM300,000 adalah munasabah dengan mengambil kira isteri tertuduh tidak sihat dan sedang menjalani kemoterapi. Syarat tambahan melaporkan diri sekali setiap dua bulan," katanya.
Susulan itu, Wan Shaharuddin mencadangkan jaminan RM400,000 untuk mengambil jalan tengah dan memudahkan semua pihak.
Hakim bersetuju Wan Saiful diikat jamin RM400,000 dengan seorang penjamin, selain syarat tambahan seperti dimohon pendakwaan.
Sebutan kes seterusnya untuk serahan dokumen ditetapkan 22 Mac ini.
Terdahulu, Wan Saiful tiba di lobi Kompleks Mahkamah Jalan Duta dengan memakai sut hitam dan kemeja putih jam 8.45 pagi dengan diiringi pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan peguamnya.
Pengerusi Perikatan Nasional (PN) merangkap Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Naib Presiden BERSATU, Datuk Dr Radzi Jidin; dan Setiausaha Agung BERSATU, Datuk Seri Hamzah Zainudin, antara pemimpin parti itu yang turut hadir ke mahkamah bagi memberi sokongan moral kepada Wan Saiful.