Isnin, 20 Februari 2023 | 11:33pm
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said.

72 individu sabit kesalahan, kes berprofil tinggi sejak 2018

KUALA LUMPUR: Seramai 72 individu membabitkan kes berprofil tinggi, berkepentingan awam dan sensitif, disabitkan bersalah di mahkamah sepanjang 2018 sehingga Januari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, jumlah itu adalah daripada keseluruhan 180 kes berprofil tinggi, berkepentingan awam dan sensitif, yang dituduh di mahkamah dalam tempoh terbabit.

"Daripada 180 kes dituduh di mahkamah, sebanyak 60 kes sudah selesai perbicaraan, dengan 72 individu sudah disabitkan kesalahan.

"120 kes masih lagi dalam proses perbicaraan di mahkamah," katanya dalam jawapan bertulis pada persidangan Dewan Rakyat, di sini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Seri Dr Haji Ismail Abd Muttalib (PN-Maran), yang meminta Perdana Menteri menyatakan jumlah pertuduhan berprofil tinggi, membabitkan ahli politik dan pegawai awam yang belum dibawa ke muka pengadilan dan sebab ia ditangguhkan.

Pada masa sama, Azalina berkata, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan berdasarkan penguatkuasaan undang-undang dan elemen pembuktian kesalahan.

Justeru, katanya, semua siasatan yang mempunyai bukti yang jelas dan mencukupi akan disyorkan kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk tindakan pendakwaan.

Berita Harian X