Isnin, 20 Februari 2023 | 6:32pm

Ahli Parlimen Kampar diminta tarik balik perkataan derhaka

KUALA LUMPUR: Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Ramli Mohd Nor mengarahkan Chong Zhemin (DAP-Kampar) menarik balik perkataan derhaka yang merujuk tindakan Tan Sri Muhyiddin Yassin membatalkan Ordinan Darurat tanpa perkenan Yang di-Pertuan Agong.

Arahan itu berdasarkan Peraturan 36 (6) iaitu mengeluarkan kenyataan yang membawa sangkaan jahat kepada ahli Dewan Rakyat yang lain.

Ketika sesi perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja, Zhemin berkata, ketika pentadbiran Muhyiddin, bekas Perdana Menteri itu menggantung Parlimen disebabkan COVID-19.

Beliau berkata, Ahli Parlimen dilarang masuk ke Parlimen untuk membawa suara rakyat walaupun ketika itu tiada sebarang kluster di rekodkan di dalam Dewan Rakyat.

"Pagoh juga ingkar titah Tuanku dan menderhaka dengan pembatalan Ordinan Darurat tanpa perkenan baginda malah menteri Perikatan Nasional (PN) tebal muka cuba mengelirukan Dewan Rakyat bahawa Ordinan Darurat sudah dibatalkan.

"Ini adalah titik hitam dan zaman kegelapan demokrasi ketika PN memerintah," katanya.

Afnan Hamimi Taib Azamudden (PN-Alor Setar) kemudian bangkit mencelah dengan meminta perkataan derhaka itu ditarik balik kerana ia mengelirukan.

"(Peraturan) 36 (6) Pagoh ingkar Yang di-Pertuan Agong minta tarik balik... mengeluarkan sangkaan jahat ke atas ahli lain... dia kata Pagoh derhaka Yang di-Pertuan Agong itu tidak tepat," katanya.

Ramli kemudiannya menjelaskan apabila suatu peraturan sudah dibangkitkan pihaknya perlu membuat keputusan.

"Kampar... pada pandangan saya sebagai pengerusi, tarik balik apa yang kamu kata... bahagian itu... derhaka," katanya.

Zhemin kemudiannya akur dan menarik semula perkataan derhaka itu sebelum meneruskan sesi perbahasannya.

Berita Harian X