KUALA LUMPUR: Ketua Pemuda UMNO Jasin, Dr Muhamad Akmal Saleh mengesahkan bertanding bagi jawatan Ketua Pemuda UMNO pada pemilihan parti bulan depan.
Beliau yang juga Naib Ketua Pemuda UMNO Melaka mengemukakan borang pencalonannya di ibu pejabat UMNO di Menara Dato' Onn petang tadi.
"Alhamdulillah selesai hantar borang untuk menawarkan khidmat saya sebagai Ketua Pemuda UMNO Malaysia petang ini.
"Mohon doa dan bantu saya. Pemuda cara kita," katanya menerusi Facebook beliau petang ini.
Dr Muhamad Akmal yang juga EXCO Kesihatan dan Antidadah Melaka adalah pemimpin Pemuda UMNO pertama yang menghantar borang pencalonan bagi jawatan itu, yang masih dibuka sehingga 26 Februari ini.
Sementara itu, BH difahamkan Setiausaha Pemuda UMNO, Datuk Hasmuni Hassan yang sebelum ini menawarkan diri untuk bertanding jawatan Ketua Pemuda UMNO menarik diri, beberapa hari sebelum pencalonan ditutup Ahad ini.
Hasmuni difahamkan akan menghantar borang pencalonan bagi merebut jawatan Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO.
Sementara itu, Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Armand Azha Abu Hanifah yang turut menyatakan hasrat bertanding jawatan terbabit difahamkan masih belum mengemukakan borang pencalonannya.
Malah, beliau sendiri mengesahkan dipanggil Lembaga Disiplin UMNO Khamis ini berhubung pelanggaran etika pemilihan parti itu.
Setakat ini, dua calon dikhabarkan sudah menyatakan hasrat bertanding secara terbuka bagi merebut jawatan itu, dengan beberapa nama lain dijangka mengemuka pencalonannya.
Antara ura-ura nama yang dikhabarkan akan turut bersaing dalam jawatan itu, Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Adam, yang sebelum ini diterima kembali sebagai ahli UMNO.
Penentuan siapa akan menerajui sayap UMNO itu akan diketahui 11 Mac depan ketika persidangan sayap parti itu yang akan berlangsung serentak di seluruh negara.