KUALA LUMPUR: Seorang wanita dipercayai pembantu Ahli Parlimen dari Sarawak diarah keluar dari kawasan Parlimen kerana berpakaian tidak mematuhi kod etika.
Wanita itu ditegur kerana memakai skirt pendek terbelah sehingga menampakkan bahagian paha kirinya.
Difahamkan wanita berkenaan kali pertama hadir ke Parlimen.
Beliau ditegur seorang lelaki dipercayai Ketua Keselamatan Parlimen sambil meminta wanita itu keluar dari bangunan Parlimen kerana mengenakan pakaian tidak sepatutnya.
Wanita itu diberi pilihan jika mahu kekal berada dalam bangunan Parlimen dengan menukar skirt dipakainya.
Jelas pegawai Parlimen berkenaan, skirt wanita berkenaan bertentangan dengan protokol ditetapkan Parlimen.
Katanya, beliau mendapat arahan daripada Speaker Dewan Rakyat Datuk Johari Abdul untuk memantau pakaian di Parlimen supaya semua mengikut peraturan.
Beliau juga berkata, pengamal media juga diminta mengikut pakaian bersesuaian dengan peraturan seperti tidak memakai kasut sukan.
Mengikut garis panduan Kod Etika Berpakaian Parlimen Malaysia, pegawai wanita perlu memakai gabungan '2 pieces' atau '3 pieces' suit yang terdiri daripada kot, kemeja, skirt bawah paras lutut atau skirt labuh mahupun berseluar panjang.
Panduan sama turut menetapkan sut perlu dipakai dengan kemeja lengan panjang Yang dibutangkan manakala pilihan warna sut skirt atau seluar panjang digalakkan bsrwarna hitam atau gelap.
Selain itu, garis panduan berkenaan juga membenarkan pemakaian pakaian kebangsaan atau tradisional seperti baju kurung atau kebaya, sut punjabi, cheongsam dan sari.