Isnin, 20 Februari 2023 | 11:15am
Liew Chin Tong
Liew Chin Tong

Kerajaan perhalusi guna EV kenderaan rasmi

KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang memperhalusi langkah untuk meningkatkan jumlah kereta elektrik (EV) termasuk hibrid sebagai kenderaan rasmi jabatan.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Liew Chin Tong, berkata perkara itu sedang diperhalusi oleh Kementerian Kewangan.

"MITI juga mencadangkan supaya pelepasan cukai pendapatan individu untuk langganan kemudahan atau pemasangan sistem pengecas EV dimasukkan dalam Belanjawan 2023.

"Sehingga kini, jumlah sedia ada untuk unit sedia ada EV dan hibrid membabitkan 21,659 dan 902 lokasi pengecas (charging point)," katanya pada sesi jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Jimmy Puah Wee Tse (PH-Tebrau) dalam menyatakan dasar MITI untuk menggalakkan penggunaan EV.

Melalui Belanjawan 2022, kerajaan menawarkan insentif cukai meliputi pengecualian sepenuhnya duti import, duti eksais dan cukai jalan EV yang dipasang secara tempatan atau diimport secara 'completely built-up' (CBU).

Pengecualian sepenuhnya cukai jualan bagi EV yang dipasang secara tempatan dan pelepasan cukai pendapatan individu untuk langganan kemudahan atau pemasangan sistem pengecasan EV.

Menjawab soalan tambahan Wee Tse bagaimana pengiraan cukai jalan bagi EV selepas 2026, Chin Tong berkata ia akan diputuskan Jemaah Menteri kelak.

Chin Tong berkata, Jemaah Menteri pada 17 Februari lalu memutuskan bahawa Pasukan Petugas EV Kebangsaan (NEVTF) bertanggungjawab menilai dasar semasa, memantau pelaksanaan program dan inisiatif serta merangka dasar dan inisiatif baharu berkaitan pembangunan industri EV dalam negara secara menyeluruh.

"NEVTF ini diketuai MITI dan diwakili oleh pelbagai kementerian, agensi kerajaan dan pihak industri yang berkaitan sebagai pendekatan menyeluruh jentera kerajaan," katanya.

Beliau berkata, melalui Perbadanan Teknologi Hijau dan Perubahan Iklim Malaysia, kerangka strategi pembangunan dan perancangan infrastruktur pengecas EV sedang dibangunkan secara menyeluruh di negara ini.

Katanya, kerajaan melalui pasukan EV juga akan menggariskan dasar supaya ada inisiatif dalam kewujudan lokasi pengecas voltan tinggi.

Berita Harian X