Isnin, 20 Februari 2023 | 7:53am
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk Seri Abdul Jalil Hassan (kiri) bersama Setiausaha Bahagian Konsulat Kementerian Luar Negeri Datuk Mohamad Ali Selamat (kanan) pada sidang media berkenaan kejayaan membawa pulang lima mangsa penipuan kerja di Thailand, di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hari ini. - Foto Bernama
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk Seri Abdul Jalil Hassan (kiri) bersama Setiausaha Bahagian Konsulat Kementerian Luar Negeri Datuk Mohamad Ali Selamat (kanan) pada sidang media berkenaan kejayaan membawa pulang lima mangsa penipuan kerja di Thailand, di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hari ini. - Foto Bernama

Lima mangsa sindiket pekerjaan selamat kembali ke tanah air hari ini

KUALA LUMPUR: Lima rakyat Malaysia yang menjadi mangsa sindiket penipuan tawaran pekerjaan di Myanmar selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dari Thailand hari ini.

Kementerian Luar (KLN) dalam kenyataan hari ini, memaklumkan mangsa berkenaan telah berjaya melarikan diri ke Thailand dan diselamatkan oleh pihak berkuasa tempatan sebelum melalui proses deportasi dan dihantar pulang ke Malaysia.

"Kepulangan mangsa berusia 19 hingga 26 tahun diiringi oleh pegawai daripada KLN dan Polis Diraja Malaysia yang telah mengadakan lawatan kerja ke Thailand dari 16 hingga 19 Februari," menurut kenyataan itu.

Sementara itu, Malaysia merakamkan penghargaan kepada kerajaan Thailand atas kerjasama baik diberikan dalam usaha mengesan serta menyelamat warganegara Malaysia yang menjadi mangsa sindiket jenayah penipuan itu dan mempercepatkan proses penghantaran pulang mangsa ke Malaysia.

Menurut kenyataan itu, Wisma Putra telah membawa pulang 382 warganegara Malaysia yang menjadi mangsa sindiket berkenaan di Laos, Kemboja, Myanmar dan Thailand.

"KLN amat memandang serius akan permasalahan ini dan menggesa orang ramai untuk membuat laporan kepada PDRM dan KLN sekiranya ada antara ahli keluarga yang disyaki menjadi mangsa sindiket jenayah penipuan tawaran pekerjaan di luar negara.

"KLN ingin menasihatkan orang ramai supaya lebih berwaspada dengan tawaran pekerjaan di luar negara dengan gaji lumayan terutamanya yang diterima melalui media sosial, aplikasi mudah alih atau secara dalam talian," menurut kenyataan itu. – Bernama

Berita Harian X