Ahad, 19 Februari 2023 | 9:57pm
Al-Quran yang ditemui dalam longkang berhampiran Tasik Sri Murni, Jinjang, di ibu kota. - Foto video tular
Al-Quran yang ditemui dalam longkang berhampiran Tasik Sri Murni, Jinjang, di ibu kota. - Foto video tular

Pihak buang al-Quran boleh dikenakan tindakan

PUTRAJAYA: Pihak yang sengaja membuang kitab suci al-Quran, boleh dikenakan tindakan berdasarkan peruntukan undang-undang.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar, berkata pihaknya dukacita dengan kejadian membuang al-Quran yang tular di media sosial, dipercayai berlaku di satu lokasi di ibu kota.

Beliau berkata, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) ketika ini menjalankan siasatan berhubung perkara itu.

Pada masa sama, beliau merakamkan penghargaan dan pujian atas keprihatinan pihak berkuasa, Ahli Jawatankuasa Pengurusan Masjid setempat dan orang ramai, yang bekerjasama menangani isu itu, sebagai tanda menghormati kemuliaan al-Quran.

"Kita menasihatkan orang ramai supaya sentiasa memelihara kemuliaan al-Quran setiap masa. Al-Quran perlu diurus dengan cermat dan tertib bagi menjaga kemuliaan ayat suci berkenaan.

"Orang ramai boleh merujuk dengan pihak berkuasa agama Islam negeri iaitu Jabatan Agama Islam Negeri-Negeri (JAIN) mengenai garis panduan dan kaedah untuk melupuskan naskhah al-Quran," katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pihaknya juga akan terus mempertingkatkan program penerangan dan pendidikan berkaitan kaedah pelupusan al-Quran kepada masyarakat Islam.

Terdahulu, tular satu video menerusi aplikasi media sosial Tik Tok, penemuan Al-Quran, yang dibuang individu tidak bertanggungjawab di sebuah longkang berhampiran Tasik Sri Murni, Jinjang.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai, berkata hasil siasatan awal mendapati sebanyak 13 naskhah al-Quran yang dijumpai dalam longkang, sengaja dibuang oleh orang tidak bertanggungjawab.

Beliau berkata, kes itu disiasat di bawah Seksyen 295 Kanun Keseksaan kerana membinasakan kitab suci al-Quran dengan tujuan untuk mengaibkan agama.

Katanya, siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan kerana mendatangkan mudarat keharmonian ke atas agama.

Berita Harian X