Ahad, 19 Februari 2023 | 8:19pm
SPRM sahkan akan panggil bekas Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, bagi membantu siasatan projek Jana Wibawa.
SPRM sahkan akan panggil bekas Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, bagi membantu siasatan projek Jana Wibawa.

Tengku Zafrul akan dipanggil dalam masa terdekat - Azam

KUALA LUMPUR: Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki, hari ini mengesahkan pihaknya akan memanggil bekas Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, bagi membantu siasatan projek Jana Wibawa.

Beliau berkata, Tengku Zafrul, yang kini Menteri Perdagangan Antarabangsa, akan dipanggil dalam masa terdekat.

Sebelum ini, Tengku Zafrul berkata, beliau bersedia untuk memberi keterangan kepada SPRM untuk membantu siasatan berhubung bantuan rangsangan COVID-19 Jana Wibawa.

Beliau berkata, tiada apa yang hendak disembunyikan berhubung dana projek itu.

Mengulas lanjut, Azam berkata, setakat ini, pihaknya sudah mengambil keterangan daripada bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan tidak wajar untuk seseorang yang dipanggil untuk memberi keterangan, membuat kesimpulan sendiri ketika siasatan masih berjalan.

"Tidak wajar untuk individu yang dipanggil untuk memberi keterangan, membuat kesimpulan sendiri sama ada mereka dipanggil sebagai saksi ataupun suspek," katanya.

Azam menjelaskan, menurut Seksyen 30(1)(a), Akta SPRM 2009, seseorang pegawai Suruhanjaya yang menyiasat sesuatu kesalahan di bawah akta berkenaan, boleh memerintahkan mana-mana orang supaya hadir di hadapannya bagi maksud diperiksa secara lisan.

"Ia berhubungan dengan apa-apa perkara yang mungkin dapat, pada pendapatnya, membantu dalam penyiasatan kesalahan itu.

"Mereka juga harus menunggu sehingga siasatan selesai sebelum memberi komen mengenai siasatan oleh penguat kuasa," katanya.

SPRM hari ini mengesahkan, Muhyiddin, yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) adalah antara suspek yang disiasat bagi projek Jana Wibawa.

Sumber SPRM berkata, dalam siasatan SPRM, Muhyiddin adalah suspek siasatan ketika beliau dipanggil memberi keterangan di SPRM.

Semalam, Muhyiddin memaklumkan, SPRM memanggil beliau untuk memberi kenyataan, bukan sebagai suspek dalam projek Jana Wibawa.

Menurutnya, beliau memberikan kerjasama yang baik ketika memberi kenyataan dan SPRM juga menjalankan tugas mereka dengan baik.

Begitupun, Muhyiddin menegaskan, pasukan peguamnya sedang meneliti tindakan undang-undang terhadap beberapa tuduhan yang dilemparkan kepadanya.

Berita Harian X