Ahad, 19 Februari 2023 | 5:58pm
Noraini (kanan) berdepan saingan Shahrizat yang kembali merebut jawatan itu.
Noraini (kanan) berdepan saingan Shahrizat yang kembali merebut jawatan itu.

Noraini punya kelebihan berbanding Shahrizat, kata penganalisis

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Dr Noraini Ahmad dilihat tetap memiliki kelebihan dalam persaingan merebut jawatan Ketua Wanita UMNO, meskipun perlu berdepan pemimpin berpengalaman, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil.

Penganalisis politik dan media sosial daripada Universiti Teknologi MARA (UiTM), Prof Madya Dr Sara Chinnasamy, berkata budaya politik semasa yang lebih menjurus ke arah budaya politik baharu dilihat memberi kelebihan kepada Noraini untuk mempertahankan jawatan itu.

Namun, katanya, Noraini tidak akan berdepan laluan mudah kerana Shahrizat pastinya akan menggunakan segala pengaruh, pengalaman dan sokongan akar umbi untuk memberi saingan sengit dalam pemilihan UMNO kali ini.

"Noraini tetap ada kerana beliau adalah ahli politik dalam era pasca Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) yang berdepan dengan pelbagai kemelut politik sejak 2018 sehingga kini.

"Tidak dapat dinafikan bahawa Shahrizat mempunyai pengalaman politik yang panjang dan pernah menerajui Wanita UMNO sejak 2008 hingga 2018, namun budaya politik hari ini adalah budaya politik baharu dan penjajaran politik baharu.

"Namun, persoalan utama sekarang adalah pemimpin mana yang di mata ahli peringkat bawah yang dilihat mampu membawa nama UMNO ke hadapan," katanya kepada BH, hari ini.

Kelmarin, Shahrizat yang juga bekas Menteri Wanita, Keluarga dan Masyarakat, secara rasminya bertanding jawatan Ketua Wanita UMNO yang pernah diterajuinya antara 2008 hingga 2018, apabila menyerahkan kertas pencalonan di Ibu Pejabat UMNO.

Sebelum ini, dilaporkan 147 ketua Wanita UMNO bahagian di seluruh negara menggesa Shahrizat kembali menerajui sayap itu memandangkan legasi dan reputasinya dikatakan masih kekal walaupun selepas bersara daripada politik.

Awal bulan ini, BH yang memetik sumber melaporkan, Noraini mengesahkan akan mempertahankan jawatan Ketua Wanita UMNO dalam pemilihan sayap itu, dan hasrat berkenaan sudah dinyatakan kepada pimpinan sayap dan negeri.

Mengulas lanjut, Sara berpandangan pertandingan bagi merebut jawatan Ketua Wanita UMNO itu penting kerana ia berkait secara langsung dengan kelangsungan UMNO dalam arena politik negara.

Ia berikutan peranan penting sayap itu yang menjadi antara tunjang utama menggerakkan jentera UMNO ketika pilihan raya, sekali gus memerlukan pemimpin yang mampu merangka strategi berkesan bagi menarik pengundi.

Selain itu, katanya, insiden 'pembersihan' UMNO baru-baru ini, yang menyaksikan beberapa pemimpin berpengaruh parti dipecat atau digantung akan turut mempengaruhi perwakilan untuk menentukan sama memilih Noraini atau Shahrizat untuk menerajui Wanita UMNO.

"Untuk itu, soal imej parti dan kredibiliti calon tetap menjadi keutamaan dalam pemilihan Ketua Wanita UMNO," katanya.

Berita Harian X