SEREMBAN: DAP Negeri Sembilan mengumumkan akan bertanding mempertahankan 11 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang dijangka diadakan sekitar Julai depan.
Pengerusi DAP negeri, Anthony Loke ketika mengesahkan perkara itu berkata, ia adalah kerusi DUN yang dimenangi parti berkenaan sejak Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13).
"Kita (DAP) akan bertanding mempertahankan 11 kerusi yang dimenangi sejak PRU13 lagi. Kita memenangi 10 kerusi pada PRU 2008 (PRU12) dan kemudian 11 kerusi pada PRU13. Itu adalah asasnya dan saya memaklumkan kedudukan itu pada Konvensyen DAP negeri, hari ini.
"Konteks kita mudah, iaitu hasrat untuk mempertahankan 11 kerusi (DUN) disandang itu. Saya berjanji kepada Menteri Besar untuk 'bagi' (memenangi) 11 kerusi itu pada PRN nanti. Malah, kita mendapat undi majoriti di kawasan 11 kerusi itu pada PRU15 dan kita mahu mempertahankannya," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Tahunan DAP Negeri Sembilan Kali Ke-21, di sini, hari ini.
Yang turut hadir Menteri Besar merangkap Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun, dan Timbalan Pengerusi DAP negeri, S Kunasegaran.
Loke yang juga Setiausaha Agung DAP, berkata demikian ketika ditanya kemungkinan akan berlaku masalah dalam pembahagian kerusi antara parti itu dengan rakan kerjasama daripada Barisan Nasional (BN), terutama MCA.
Mengulas lanjut, Menteri Pengangkutan itu memaklumkan, pihaknya hanya mahu mempertahankan kerusi sedia disandang dan tidak akan meminta kerusi tambahan untuk ditandingi pada PRN kelak.
Bagaimanapun, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chennah berkata, terpulang kepada Aminuddin untuk berunding dengan rakan kerjasama daripada BN.
"Saya tidak boleh berfikir atau bercakap bagi pihak parti lain (MCA). Prinsip kita ialah mempertahankan 11 kerusi itu. Begitu juga dengan parti gabungan PH, iaitu AMANAH dan PKR, terpulang kepada parti masing-masing untuk menyatakan pandangan mereka (dalam menentukan kedudukan jumlah kerusi)," katanya.
Loke berkata, masalah pembahagian kerusi tidak akan timbul jika rundingan peringkat negeri dapat diselesaikan dengan baik.
"Kalau negeri boleh selesaikan masalah, biasanya kita hanya akan bawa saja ke pusat untuk makluman dan mungkin pusat akan memberi sedikit pandangan atau panduan.
"Saya yakin dengan kemampuan Menteri Besar untuk berunding kerana beliau mempunyai hubungan baik dengan semua pihak, termasuk UMNO," katanya.
Loke berkata, budaya politik di Negeri Sembilan adalah berbeza dengan negeri lain di mana walaupun timbul perbezaan pendapat, ia tidak sehingga bergaduh.
Malah, beliau berkata, tiada pertikaian besar antara kerajaan dan pembangkang di negeri ini sebagaimana diterjemahkan pada sidang DUN sebelum ini.
"Melihat situasi ini, saya yakin akan ada satu suasana kondusif untuk kita berunding dan boleh mencapai persefahaman di Negeri Sembilan," katanya.
Mengulas mengenai ramalan pelbagai pihak bahawa Perikatan Nasional (PN) mampu mencipta kejutan di negeri ini pada PRN akan datang pula, Loke mengakui PN memperoleh sokongan tambahan di beberapa kawasan pada PRU15.
Justeru, beliau berkata, DAP Negeri Sembilan akan merangka strategi bagi memastikan kejayaan parti itu dapat dipertahankan, sekali gus enggan pimpinan dan ahli mengambil mudah walaupun PN tiada menyandang sebarang kerusi negeri ketika ini.
"Dalam konteks kerjasama dengan BN, kita berharap penyokong BN akan menyokong serta berkempen untuk calon PH dan begitu juga sebaliknya nanti. Ia selari konteks Kerajaan Perpaduan dengan memastikan kekuatan parti masing-masing dapat diterjemahkan," katanya yang berkeyakinan bahawa Kerajaan PH di Negeri Sembilan akan dapat dipertahankan pada PRN nanti.