JOHOR BAHRU: Kementerian Kesihatan (KKM) akan meneliti isu hanya 28 daripada 136 ventilator yang diperoleh kementerian melalui tatacara perolehan darurat dari 2020 hingga 2022, boleh digunakan.
Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa, berkata taklimat mengenai isu berkenaan sudah disampaikan pegawai kementerian kepadanya, baru-baru ini.
"Kita ambil maklum isu ini dan akan lihat sama juga seperti perkara lain termasuk perolehan vaksin COVID-19.
"Ini kerana perolehan ventilator berkenaan diperoleh ketika darurat, yang mana kita boleh lakukan pembaikan perkara itu," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Wellness Hub Hospital Sultanah Aminah (HSA), di sini, hari ini.
Wellness Hub HSA itu adalah yang pertama yang diwujudkan di fasiliti hospital KKM di negara ini.
Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan Johor, Ling Tian Soon, Ketua Setiausaha KKM, Datuk Harjeet Singh dan Pengarah Kesihatan Johor, Datuk Dr Aman Rabu.
Jumaat lalu, Ahli Parlimen Bandar Kuching, Dr Kelvin Yii, dilaporkan menggesa kerajaan mengambil tindakan terhadap mereka yang bertanggungjawab ke atas pembelian 108 ventilator rosak yang menelan belanja kerajaan sebanyak RM13 juta.
Bekas Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Kesihatan, Sains dan Inovasi itu berkata, kecuaian mereka yang terbabit dalam perolehan itu bukan sahaja membazir dana awam tetapi menjejaskan kualiti penjagaan kesihatan.
Khamis lalu, Laporan Ketua Audit 2021 Siri 2 mendedahkan hanya 28 daripada 136 ventilator yang diperoleh Pharmaniaga Logistics untuk Kementerian Kesihatan dari 2020 hingga 2022 boleh digunakan.
Kerajaan dilaporkan tidak boleh menuntut RM13 juta yang dibelanjakan terhadap peralatan rosak itu kerana tiada perjanjian ditandatangani dengan Pharmaniaga, kerana perolehan dilakukan bawah "tatacara perolehan darurat."