Ahad, 19 Februari 2023 | 1:21pm

KKM tambah baik proses perolehan, elak ketirisan, pembaziran dana awam berulang

JOHOR BAHRU: Kementerian Kesihatan (KKM) akan menambah baik prosedur dalam urusan perolehannya selepas ini bagi memastikan tiada lagi ketirisan dan pembaziran dana awam, kata Menterinya, Dr Zaliha Mustafa.

Katanya, teguran kepada kementerian seperti dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) akan diteliti dengan aspek yang didapati mengandungi kelemahan, akan dilaksanakan penambahbaikan.

"KKM akan melihat perkara yang boleh ditambah baik terutama dalam perolehan yang dibuat kementerian selepas ini. Kita lihat juga apa yang telah kita dengar sebelum ini termasuk laporan yang sudah dibentangkan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).

"KKM bukan hanya melihat atau mahu pilih mana-mana kesilapan atau kesalahan, tetapi untuk mengeluarkan cara yang terbaik, lebih berintegriti dalam memastikan tiada ketirisan di pihak kerajaan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Wellness Hub Hospital Sultanah Aminah (HSA), yang pertama yang diwujudkan di fasiliti hospital KKM di negara ini, di sini hari ini.

Yang hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan Johor, Ling Tian Soon; Ketua Setiausaha KKM, Datuk Harjeet Singh dan Pengarah Kesihatan Johor, Datuk Dr Aman Rabu.

Khamis lalu, LKAN 2021 mengenal pasti 1.10 juta vaksin COVID-19 sudah tamat tempoh antara satu hingga 212 hari membabitkan jenama Cansino, Comirnaty dan AstraZeneca.

Setakat April 2022, KKM membelanjakan RM4.462 bilion daripada RM5.577 bilion peruntukan bagi perolehan 75.88 juta dos vaksin terdiri daripada vaksin Comirnaty, AstraZeneca, CoronaVac dan Convidecia. Jumlah keseluruhan vaksin yang diterima adalah sebanyak 82.85 juta dos.

Selain itu, bekalan vaksin turut diperoleh daripada kerajaan negeri, pembelian oleh pihak swasta dan sumbangan dari negara luar. Namun demikian, LKAN menyebut nilai dos vaksin yang sudah luput tempoh penggunaannya dibeli melalui perolehan kerajaan, tidak dapat ditentukan pihak Audit.

LKAN 2021 turut mendedahkan sebanyak 93 daripada 136 unit ventilator yang dibekalkan syarikat kepada fasiliti KKM antara 2020 hingga April 2022 ketika pengurusan COVID-19, tidak dapat digunakan, menyebabkan kerugian dianggarkan RM13.07 juta.

Turut dikesan adalah lebihan alat pelindungan peribadi (PPE) yang ketara dengan nisbah penggunaan antara 2.2 peratus dan 3.1 peratus, masing-masing membabitkan sarung kasut dan sut PPE, berbaki 3.08 juta pasang sarung kasut dan 0.84 juta helai sut PPE.

Mengenai perkembangan Kertas Putih perolehan vaksin COVID-19, Dr Zaliha memaklumkan, pasukan kerja masih dalam proses melengkapkan semua data dan maklumat berkaitan perolehan vaksin ketika darurat pandemik.

"Selepas siap, kita akan terus bentang kepada Kabinet dan kemudian jika dapat kelulusan, akan bentang di Parlimen. Belum ada jangka masa ditetapkan untuk Kertas Putih ini dibentang ke Dewan Rakyat kerana kita masih dalam proses lagi.

Pada 9 Februari lalu, KKM mengumumkan penubuhan pasukan kerja bagi merangka Kertas Putih perolehan vaksin COVID-19, bagi memastikan ketelusan urusan berkenaan yang dibuat semasa tempoh darurat akibat penularan pandemik.

Dr Zaliha dilaporkan berkata, dokumen itu bagi memberi gambaran secara komprehensif mengenai pengurusan perolehan vaksin berkenaan dengan meneliti tatacara perolehan yang dilakukan bagi memastikan ketelusan demi manfaat rakyat keseluruhan.

Terdahulu, pembentangan Kertas Putih itu diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang turut membabitkan kos-kos berkaitan perolehan vaksin, yang sebahagiannya dipercayai tidak mengikut peraturan serta ditandatangani tanpa persetujuan Jabatan Peguam Negara.

Dr Zaliha Mustafa menandatangani plak pada Majlis Perasmian Wellness Hub Hospital Sultanah Aminah di Wellness Hub, Johor Bahru, Johor. - NSTP/NUR AISYAH MAZALAN
Dr Zaliha Mustafa menandatangani plak pada Majlis Perasmian Wellness Hub Hospital Sultanah Aminah di Wellness Hub, Johor Bahru, Johor. - NSTP/NUR AISYAH MAZALAN
Berita Harian X