Ahad, 19 Februari 2023 | 12:48pm

Kertas Putih vaksin COVID-19 dibentang ke Dewan Rakyat secepat mungkin

JOHOR BAHRU: Kementerian Kesihatan (KKM) memberi jaminan Kertas Putih perolehan vaksin COVID-19 akan dibentangkan ke Dewan Rakyat secepat mungkin selepas ia disiapkan.

Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa, berkata ketika ini pasukan kerja bagi merangka kertas putih itu masih dalam proses melengkapkan semua data dan maklumat perolehan vaksin COVID-19 yang diperoleh ketika darurat dilaksanakan.

"Belum ada jangka masa yang ditetapkan untuk Kertas Putih itu dibentang ke Dewan Rakyat kerana kita masih dalam proses lagi.

"Namun ia akan dilakukan (dibentang di Dewan Rakyat) secepat mungkin. Jika siap, kita akan terus bentang kepada Kabinet dan kemudian jika dapat kelulusan akan dibentang di Parlimen.

"Kita telah tubuhkan jawatankuasa untuk melihat dari sudut penyediaan Kertas Putih perolehan vaksin COVID-19, yang ketika ini sedang dalam proses," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Wellness Hub Hospital Sultanah Aminah (HSA), di sini, hari ini.

Wellness Hub HSA itu adalah yang pertama yang diwujudkan di fasiliti hospital KKM di negara ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan Johor, Ling Tian Soon, Ketua Setiausaha KKM, Datuk Harjeet Singh dan Pengarah Kesihatan Johor, Datuk Dr Aman Rabu.

Pada 9 Februari lalu, KKM dilaporkan menubuhkan pasukan kerja bagi merangka Kertas Putih perolehan vaksin COVID-19, bagi memastikan ketelusan urusan berkenaan yang dibuat semasa tempoh darurat akibat penularan pandemik.

Dr Zaliha dilaporkan berkata, dokumen itu bagi memberi gambaran secara komprehensif mengenai pengurusan perolehan vaksin berkenaan dengan meneliti tatacara perolehan yang dilakukan bagi memastikan ketelusan demi manfaat rakyat keseluruhan.

Sebelum ini, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan memaklumkan KKM akan membentangkan Kertas Putih perolehan vaksin dan kos berkaitan, yang sebahagiannya dipercayai tidak mengikut peraturan serta ditandatangani tanpa persetujuan Jabatan Peguam Negara.

Perdana Menteri berkata, Kertas Putih berkenaan akan dibentangkan di Parlimen pada persidangan akan datang dan Dr Zaliha akan memperincikan perkara terbabit.

Dalam pada itu, Dr Zaliha yang juga Ahli Parlimen Sekijang berkata, KKM juga akan melihat beberapa perkara yang boleh ditambah baik terutama dalam perolehan yang dibuat kementerian selepas ini.

"Kita melihat juga beberapa perkara yang boleh ditambah baik daripada yang telah kita dengar sebelum ini termasuk laporan yang sudah dibentangkan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).

"KKM bukan hanya melihat atau mahu 'pick up' mana-mana kesilapan atau kesalahan tetapi untuk mengeluarkan cara yang terbaik, lebih berintegriti dalam memastikan tiada ketirisan berlaku di pihak kerajaan," katanya.

Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa ditemui pemberita selepas Majlis Perasmian Wellness Hub Hospital Sultanah Aminah di Wellness Hub, Johor Bahru, Johor. - Foto NSTP/Nur Aisyah Mazalan
Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa ditemui pemberita selepas Majlis Perasmian Wellness Hub Hospital Sultanah Aminah di Wellness Hub, Johor Bahru, Johor. - Foto NSTP/Nur Aisyah Mazalan
Berita Harian X