Ahad, 19 Februari 2023 | 12:37pm
 Keadaan Sungai Lereh semalam yang tercemar dipercayai berpunca daripada pembuangan sisa kumbahan aktiviti penternakan lembu dan kambing. - Foto ihsan pembaca
Keadaan Sungai Lereh semalam yang tercemar dipercayai berpunca daripada pembuangan sisa kumbahan aktiviti penternakan lembu dan kambing. - Foto ihsan pembaca

Sungai Lereh tercemar akibat sisa kumbahan ternakan - ADUN

MELAKA: Pencemaran Sungai Lereh yang berlaku semalam dipercayai berpunca daripada pembuangan sisa kumbahan aktiviti penternakan lembu dan kambing.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Klebang, Datuk Lim Ban Hong, berkata ia hasil siasatan awal Jabatan Alam Sekitar (JAS) Melaka yang mengambil sampel air sungai berkenaan selepas menerima aduan daripada penduduk setempat.

Menurutnya, JAS akan bekerjasama dengan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) untuk menyiasat lebih lanjut sama ada sistem kumbahan atau pengendalian kolam takungan di kawasan kandang terbabit bagi mengenal pasti ia mengikuti spesifikasi ditetapkan atau tidak.

"Penduduk di sekitar kawasan Sungai Lereh juga mendakwa pencemaran sungai berkenaan turut berlaku hampir setiap tiga bulan," katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Drive Thru Recycling Centre (DTRC) Taman Bukit Rambai yang turut dihadiri Pengarah SWCorp Melaka Khairuladha Ab Mutalib di sini hari ini.

Menurutnya, beliau sudah meminta JAS dan pihak berkaitan untuk memantau isu terbabit kerana sungai berperanan penting menjana aktiviti pertanian sekali gus boleh menjejaskan ekonomi komuniti.

ADUN Klebang, Datuk Lim Ban Hong meninjau Sungai Lereh yang tercemar hari ini. - NSTP/Nazri Abu Bakar
ADUN Klebang, Datuk Lim Ban Hong meninjau Sungai Lereh yang tercemar hari ini. - NSTP/Nazri Abu Bakar

Bang Hong berkata, tinjauan mendapati air kehitaman semalam kini sedikit pulih dengan penduduk juga memaklumkan kejadian terakhir kira-kira tiga bulan lalu justeru pemantauan berkala oleh pihak JAS amat penting untuk mengelak ia berulang.

Semalam, tular di aplikasi WhatsApp mengenai pencemaran di Sungai Lereh yang menyebabkan air sungai bertukar warna kehitaman dan berakhir di kawasan pantai.

Penduduk Hairi Md Nor, 73, berkata dia yang tinggal berhampiran sungai berkenaan tidak tahan dengan bau busuk sehingga dan mengganggu mereka sekeluarga.

Berita Harian X