Sabtu, 18 Februari 2023 | 5:50pm
BH Online semalam melaporkan agensi pelancongan haji dan umrah kini boleh membeli tiket bagi jemaah secara terus dari syarikat penerbangan dengan lebih murah tanpa melalui ejen lain yang sebelum ini bertindak seperti 'orang tengah'.
BH Online semalam melaporkan agensi pelancongan haji dan umrah kini boleh membeli tiket bagi jemaah secara terus dari syarikat penerbangan dengan lebih murah tanpa melalui ejen lain yang sebelum ini bertindak seperti 'orang tengah'.

Syarikat penerbangan perlu elak jual tiket penerbangan umrah berlebihan hindar monopoli

KUALA LUMPUR: Langkah membenarkan agensi pelancongan haji dan umrah membeli tiket bagi jemaah secara terus daripada syarikat penerbangan dengan lebih murah tanpa melalui ejen lain atau 'orang tengah', dapat mengurangkan pelbagai masalah yang dihadapi selama ini.

Pengerusi Qasswa Travel & Tours Sdn Bhd (Qasswa), Datuk Mohd Najib Alwi, berkata ejen yang bertindak sebagai orang tengah sebelum ini memanipulasi peluang meraih untung dengan menjual tiket yang biasanya dibeli mereka dalam jumlah 'luar biasa' kepada agensi umrah yang terdesak.

Bagi syarikatnya, beliau berkata, harga tiket yang dibeli untuk bakal jemaah umrah Qasswa masih berpatutan, iaitu antara RM3,570 hingga RM3,800.

"Wujudnya ejen disebabkan keadaan terdesak pengendali syarikat umrah untuk mendapatkan tiket bagi jemaah mereka. Ejen memang niatnya membeli tiket pada jumlah yang 'luar biasa' dan akan menjual kepada syarikat pengendali yang terdesak.

"Terdesak sama ada agensi umrah itu ingin membeli tiket pada saat akhir atau kebanyakan tiket sudah habis dan hanya ejen tertentu ada tiket berkenaan. Pada saya, syarikat penerbangan perlu menjual tiket berdasarkan data yang mereka ada sebelum ini.

"Syarikat penerbangan perlu elak menjual tiket secara berlebihan kerana pasti akan wujud kumpulan yang memonopoli tiket ini," katanya kepada BH.

Biasanya, Mohd Najib menjelaskan, semua syarikat penerbangan yang menyediakan khidmat pesawat ke Tanah Suci mempunyai data pembelian tiket daripada semua syarikat pengendali haji dan umrah dan sekiranya kapasiti pembelian itu berlebihan daripada kebiasaan, ia patut dielakkan.

"Jangan sesekali beri peluang kepada ejen luar untuk membeli tiket dalam kapasiti terlalu banyak," katanya.

Pengarah Nusantara Discovery Sdn Bhd, Mohd Ali Abdul Malik pula menyarankan syarikat penerbangan membuka tempahan awal bagi mengelakkan masalah kemudian hari.

Katanya, tempahan awal penting kerana ia dapat memastikan bakal jemaah bersiap sedia pada tarikh penerbangan itu dan tiada tuduhan penipuan dikenakan kepada agensi haji dan umrah.

"Kalau syarikat penerbangan buka tempahan secara dalam talian, bakal jemaah perlu bayar segera dan sekiranya tiada kerusi pada tarikh yang ditempah, ia akan mendatangkan masalah. Seeloknya tempahan awal dibuka bagi penetapan tarikh penerbangan supaya tiada masalah dihadapi kedua-dua pihak," katanya.

Beliau turut menyambut baik usaha Persatuan Agensi Pelancongan Umrah & Haji Malaysia (PAPUH) dan syarikat penerbangan membenarkan pembelian tiket secara terus kepada pengendali syarikat umrah dan haji.

Semalam, BH melaporkan agensi pelancongan haji dan umrah kini boleh membeli tiket bagi jemaah secara terus daripada syarikat penerbangan dengan lebih murah tanpa melalui ejen lain yang sebelum ini bertindak seperti 'orang tengah'.

Menerusi pembelian secara terus daripada syarikat penerbangan itu, ejen umrah dan haji boleh mendapatkan tiket pada harga antara RM3,000 hingga RM3,400 bagi seorang jemaah berbanding RM5,000 jika gunakan ejen.

Mengenai harga tiket, Mohd Ali berkata, ia bergantung kepada syarikat penerbangan itu sendiri dan kadarnya berbeza sekiranya dibeli secara individu atau berkumpulan.

"Setakat ini saya tiada masalah dengan harga tiket, masih berpatutan untuk bakal jemaah saya, cuma diharap tarikh tempahan penerbangan itu dapat disahkan awal, tidak berlaku kelewatan penerbangan kerana biasanya jemaah sudah mengambil cuti jika bekerja," katanya.

Bakal jemaah umrah, Juliana Abd Samad, 39, berkata sepatutnya syarikat pengendali umrah dan haji membuat tempahan tiket lebih awal bagi mengelakkan harga melambung tinggi.

Katanya, beliau sudah menempah dengan sebuah syarikat pengendali sejak Jun tahun lalu pada harga RM7,500 dan penerbangan sepatutnya pada Disember lalu, namun pelbagai alasan diberikan termasuk kenaikan kos dan sebagainya.

"Bayaran diminta tiga bulan awal, tetapi segala urusan dibuat berlengah-lengah. Tidak mustahil harga akan terus meningkat dan jemaah yang menanggung bebannya. Akhirnya saya minta wang dikembalikan dan memilih agensi lain.

"Namun begitu, agensi lain turut mengenakan harga agak mahal iaitu RM9,750 yang pada pandangan saya, boleh dapat untuk pakej VIP. Tak mengapalah, kita pun faham keadaan ekonomi sekarang, namun diharap selepas ini, harga pakej akan turun dan memudahkan umat Islam melakukan ibadah," katanya.

Berita Harian X