KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sedang meneliti tindakan yang akan diambil berkait laporan berita mendakwa akan ada pengurangan 800,000 kakitangan awam.
Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil, berkata berita berkenaan disiarkan sebuah saluran media percuma yang sebelum ini sudah beberapa kali melanggar dan menerbitkan bahan tidak mematuhi peraturan digariskan SKMM.
"Saya difahamkan SKMM sudah meneliti dan pihak berkenaan sudah beberapa kali menerbitkan bahan yang pada pemerhatian SKMM tidak mematuhi peraturan. Ketika ini SKMM sedang meneliti dan menilai serta berhubung dengan pihak berkenaan, mungkin beri sedikit masa.
"Bagaimanapun, bagi saya, yang penting ada beza menerbitkan berita dan menerbitkan fitnah, ada beza hak untuk bersuara dan hak untuk media bebas menjalankan tugas," katanya pada sidang media selepas pelancaran Program Jelajah Saya Digital di Lembah Pantai, di sini, hari ini.
Fahmi berkata, SKMM akan memaklumkan status siasatan dalam masa terdekat.
Katanya, KKD menegaskan kebebasan bersuara dan media bukan 'lesen' untuk menyebarkan berita palsu dan fitnah kepada orang ramai.
Beliau berkata pengamal media perlu beretika dalam menerbitkan kandungan kepada awam.
Katanya, semua pihak seperti pemilik media, pengarang, wartawan dan orang ramai perlu sama-sama memastikan kandungan yang diterbitkan tidak bersifat fitnah dan melanggari undang-undang.
"Yang penting ada perbezaan menerbitkan berita dan menerbitkan fitnah, ada beza hak untuk bersuara dan hak untuk media bebas menjalankan tugas dan itu kita pertahankan.
"Tapi ia tidak bermaksud ada hak untuk menerbitkan kandungan yang tidak benar ataupun fitnah dan perlu ada keseimbagan, " katanya ketika sidang media selepas merasmikan Majlis Pelancaran Program Jelajah Saya Digital 2023 di Pusat Komuniti Eco Park di sini hari ini.
Beliau mengulas mengenai laporan sebuah siaran televisyen dalam talian kononnya kerajaan merancang untuk mengurangkan jumlah penjawat awam.
Semalam, dalam ciapannya di Twitter, beliau menegaskan kerajaan tidak pernah mempunyai sebarang rancangan atau perbincangan untuk mengurangkan bilangan penjawat awam di negara ini dan kerajaan sentiasa menghargai kerjasama penjawat awam selama ini.
Beliau juga meminta pemilik kandungan berkenaan memberikan penjelasan mengenai tuduhan itu.