MACHANG: Dokumen pengenalan diri atau MyKad sedia ada dilengkapi 12 ciri keselamatan dan sangat sukar untuk mana-mana pihak yang cuba memalsukannya.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata sehubungan itu berkata, Kementerian Dalam Negeri (KDN) tidak bercadang menaik taraf MyKad kerana tahap keselamatan sedia ada sudah mencukupi.
Beliau berkata, sehingga kini pihaknya tidak menerima sebarang aduan atau masalah daripada rakyat.
"Apabila kita memilih satu sistem yang kita namakan MyKad, ia sudah lengkap dengan semua ciri keselamatan, sama ada pada komponen cip, foto dan kualiti.
"Buat masa ini kita tidak terima sebarang masalah atau aduan daripada rakyat kerana kad pengenalan ini memiliki 12 ciri keselamatan.
"Ia sangat sukar jika ada mana-mana pihak yang cuba ingin memalsukannya kerana sudah mengikut piawaian ditetapkan," katanya pada sidang media selepas merasmikan Program KDN Madani di Kompleks Perpaduan Machang, di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani dan Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud.