Sabtu, 18 Februari 2023 | 1:03pm
Foto ihsan Facebook Datuk Seri Anwar Ibrahim
Foto ihsan Facebook Datuk Seri Anwar Ibrahim

Israk Mikraj: Perbaharui tekad, insafi ibrah pengalaman Rasulullah SAW - PM

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim mengajak masyarakat mengambil iktibar daripada peristiwa Israk dan Mikraj yang dilalui Nabi Muhammad SAW.

Dalam kenyataan melalui Facebook, hari ini, Perdana Menteri berkata, ujian berat dihadapi Baginda Rasulullah SAW perlu digarap sebagai nilai yang diteladani, lalu digunakan untuk memperbaiki dan memartabatkan darjat rakyat serta negara.

"Hari ini, kita mengenang peristiwa agung Israk dan Mikraj Baginda Nabi Muhammad SAW. Suatu permusafiran ruhaniyyah yang dihadiahi Allah SWT kepada kekasih-Nya tatkala sedang diuji berat dengan pemergian suri hatinya (Siti) Khadijah dan bapa saudara, Abu Talib.

"Maruah dihina dalam episod getir di Taif hampir menjatuhkan semangat junjungan Baginda, namun ternyata kembali pulih sepulangnya Baginda Nabi dari Sidratul Muntaha sambil mengemban (memikul) amanah baharu buat membebaskan umat daripada belenggu kejahilan.

"Maka, bermulalah kewajiban solat lima waktu selaku tonggak perhubungan abadi antara hamba dengan Penciptanya. Akidah serta akhlak harus diperteguh sebelum umat tampil memikul kewajiban lebih rumit membabitkan kebajikan rakyat dan negara.

"Justeru, di samping mengenang peristiwa ini, sama-sama kita memperbaharui tekad serta menginsafi ibrah daripada pengalaman junjungan tercinta Baginda Nabi SAW, untuk bangkit dengan lebih bertenaga, memulihkan maruah serta meningkatkan martabat dan harakat (darjat) rakyat. Semoga negara kita akan terus beroleh keredaan Allah SWT," katanya.

Berita Harian X