Jumaat, 17 Februari 2023 | 9:06pm
Ketua Pemuda UMNO Johor, Mohd Hairi Mad Shah. - FAIL NSTP
Ketua Pemuda UMNO Johor, Mohd Hairi Mad Shah. - FAIL NSTP

Mohd Hairi tanding Ketua UMNO Bahagian Johor Bahru

JOHOR BAHRU: Ketua Pemuda UMNO Johor, Mohd Hairi Mad Shah, menawarkan diri untuk bertanding jawatan Ketua UMNO Bahagian Johor Bahru pada pemilihan akan datang.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Larkin berkata, keputusan itu dibuat selepas Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan UMNO, Tan Sri Shahrir Abdul Samad, membuat pengumuman tidak mempertahankan jawatan itu.

"Kita menerima pengumuman insan yang banyak berjasa kepada UMNO khususnya di Bahagian Johor Bahru iaitu Tan Sri Shahrir Abd Samad yang tidak akan mempertahankan jawatan sebagai Ketua UMNO Bahagian.

"Justeru, saya bersama keluarga dan rakan-rakan berbincang untuk meneruskan kesinambungan sumbangannya terhadap UMNO Bahagian Johor Bahru.

"Beliau berperanan sebagai ketua yang mencurahkan sepenuh jiwa dan raga kepada parti, terutama membantu masyarakat dalam aspek khidmat bakti dan meneruskan pembangunan berdaya saing di Johor Bahru.

"Justeru, saya dengan rasa rendah diri dan penuh tawaduk mengambil keputusan menawarkan diri sebagai Ketua UMNO Bahagian Johor Bahru bagi meneruskan kelangsungan Tan Sri Shahrir.

"Insya-Allah, saya mengharapkan sokongan dan dukungan semua untuk meneruskan kelangsungan legasi di Johor Bahru khususnya dalam aspek kebajikan dan khidmat bakti terhadap rakyat di Johor Bahru," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Pada 4 Februari lalu, Shahrir, 73, memaklumkan tidak mempertahankan jawatan dalam parti.

Bekas Ahli Parlimen Johor Bahru itu menjadi Ketua UMNO Bahagian Johor Bahru sejak 1980-an.

Pada 1988, beliau melepaskan kerusi Parlimen Johor Bahru sebelum bertanding sebagai calon Bebas pada Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi Parlimen berkenaan.

Shahrir kembali menyertai UMNO semula setahun kemudian.

Berita Harian X