Jumaat, 17 Februari 2023 | 3:32pm

Pulau Pinang sedia jumpa G25 beri penjelasan projek tambakan laut

GEORGETOWN: Kerajaan Pulau Pinang sedia bertemu Kumpulan Bekas Penjawat Awam Kanan (G25) yang menggesa supaya Projek Pulau Pinang Selatan (PSI) dibatalkan kerana bertentangan dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).

Ketua Menterinya, Chow Kon Yeow, berkata kerajaan negeri bersedia mengadakan sesi libat urus dengan G25 dalam meningkatkan kefahaman kumpulan berkenaan terhadap PSI yang sebelum ini dikenali sebagai Projek Tambakan Laut Selatan Pulau Pinang (PSR).

"Ia (bantahan) bukan perkara baharu buat kami, ramai membantah tanpa mengetahui butiran penuh projek berkenaan dan proses panjang yang sudah dilalui membabitkan pelbagai agensi teknikal.

"Jadi kami sangat terbuka jika G25 mahu mengadakan pertemuan," katanya selepas merasmikan Taman Armenian di sini, hari ini.

Semalam, G25 dalam satu kenyataan berkata, projek PSI bukan saja akan menjejaskan pantai Pulau Pinang, malah ia turut membabitkan perairan Kedah dan Perak.

Susulan itu, kumpulan terbabit turut menggesa kerajaan negeri menghormati hak nelayan untuk melindungi punca pendapatan mereka dengan kerja penambakan dikhuatiri menyebabkan pencemaran dan memusnahkan ekosistem serta biodiversiti laut.

Kon Yeow berkata, kerajaan negeri akan terus berhubung dengan pihak berkepentingan termasuk pihak berkuasa pada peringkat Persekutuan berhubung kesan projek terbabit terhadap ekologi dan alam sekitar apabila ia dilaksanakan kelak.

"Jika kumpulan G25 meminta diadakan sesi taklimat kami juga boleh libatkan mereka. Jadi mereka dapat memahami apa yang kami cadangkan untuk mengurangkan impak ekologi, alam sekitar dan lain-lain apabila projek itu dijalankan.

"Minggu lalu, kami mengadakan pembentangan kepada Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (Datuk Seri Mohamad Sabu) kerana ia membabitkan perikanan dan pengeluaran makanan laut," katanya.

Kon Yeow turut memberi jaminan segala impak alam sekitar dan ekologi akan ditangani dengan penyelesaian sewajarnya sekiranya projek itu mendapat kelulusan pihak berwajib.

Projek tambakan bernilai RM10 bilion itu membabitkan 17 kilometer persegi merangkumi pembangunan tiga pulau buatan manusia di kawasan Selatan Pulau Pinang.

Projek yang diperkenalkan pada 2015 itu adalah modul pembiayaan Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) bernilai RM46 bilion.

PSI ditentang banyak pihak termasuk Persatuan Nelayan Pulau Pinang (Pen Mutiara) dan beberapa badan bukan kerajaan (NGO) alam sekitar.

 Kon Yeow (dua dari kanan) merasmikan Taman Armenian hari ini. NSTP/MIKAIL ONG
Kon Yeow (dua dari kanan) merasmikan Taman Armenian hari ini. NSTP/MIKAIL ONG
Berita Harian X