Jumaat, 17 Februari 2023 | 3:16pm
Foto fail NSTP
Foto fail NSTP

PERTIS sambut baik pas perjalanan tanpa had secara percuma 'MyRailLife'

KUALA LUMPUR: Persatuan Orang-Orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS) yakin pas perjalanan 'MyRailLife' tanpa had secara percuma yang diberikan kepada Orang Kurang Upaya (OKU) serta pelajar sekolah dapat membantu mengurangkan kos perbelanjaan perjalanan golongan itu.

Naib Yang Dipertua PERTIS, Jasmadin Budin, berkata keprihatinan kerajaan memberikan pas MyRailLife sekali gus membantu ramai golongan OKU yang terkesan akibat pandemik COVID-19 dan kini sedang dalam proses memperbaiki tahap kehidupan.

"Ramai golongan OKU yang menggunakan perkhidmatan tren KTM Komuter terutama di Lembah Klang, Pulau Pinang dan beberapa tempat lagi," katanya ketika dihubungi semalam.

Jasmadin berkata, sebelum ini Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) sudah pun memberi diskaun melebihi 50 peratus kepada golongan OKU bagi setiap perjalanan, kini di bawah Kerajaan Perpaduan ia ditambah baik iaitu diberikan percuma.

"Difahamkan pas ini boleh digunakan dalam tempoh satu tahun, namun diharap ia dilanjutkan," katanya.

Dalam pada itu, beliau turut berharap kemudahan mendapatkan pas ini lebih mesra OKU dengan penyediaan aplikasi dapat dicapai oleh semua golongan OKU, khususnya yang cacat penglihatan.

Jasmadin yang juga seorang guru di sebuah sekolah menengah, berkata, selain pemberian kemudahan tambang percuma, diharapkan kerajaan juga dapat mengembangkan pemberian tambang percuma atau diskaun kepada golongan OKU bagi perkhidmatan pengangkutan yang lain seperti e-hailing serta pengangkutan udara iaitu kapal terbang.

Katanya, harga e-hailing adalah satu daripada pengangkutan yang popular dalam kalangan OKU.

"Namun, harga yang melambung tinggi akhir-akhir ini sangat membebankan.

"Bagi pengangkutan udara, kapal terbang, diharapkan agar kerajaan dapat berunding dengan syarikat kapal untuk memberi insentif bagi membantu golongan OKU seperti pemberian diskaun 10 sehingga 20 peratus bagi pembelian tiket.

"Ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban OKU, kerana di sekitar Kuala Lumpur dan negeri lain ramai golongan OKU datang dari pelusuk negara termasuk Sabah Sarawak yang berkumpul disini," katanya.

Semalam, Kementerian Pengangkutan (MOT) dan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) melancarkan pas perjalanan 'MyRailLife' tanpa had secara percuma kepada pelajar sekolah dan Orang Kurang Upaya (OKU).

Sementara itu, bekas Yang DiPertua Persatuan Mahasiswa OKU, Universiti Malaya (UM), Muhammad Azaruddin Azmi berkata inisiatif pas MyRailLife dapat membantu mengurangkan bebanan pelajar OKU termasuk golongan itu yang bekerja mahupun yang ingin menggunakan perkhidmatan tren komuter bagi melakukan aktiviti harian.

Dengan adanya pas ini, katanya, ia dapat menggalakkan pelajar OKU untuk terus mendapat pendidikan selain dapat juga membantu golongan OKU yang bekerja dalam meringgankan bebanan kos pengangkutan.

"Ada dalam kalangan OKU yang memerlukan kos rawatan untuk mendapatkan alatan sokongan, membaiki alatan sokongan serta membeli alat pengganti sokongan.

"Jadi, dengan adanya pas perjalanan tambang pas percuma ini, wang yang sepatutnya digunakan untuk membelanjakan tambang perjalanan menaiki tren dapat digunakan untuk membeli alat sokongan," katanya.

Berita Harian X