KUALA LUMPUR: Cadangan penetapan penggal tetap Parlimen yang menentukan tarikh pilihan raya umum (PRU) secara automatik memerlukan pindaan perlembagaan.
Pakar Perlembagaan dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Profesor Madya Dr Muhammad Fathi Yusof, berkata peruntukan Perlembagaan Persekutuan khususnya membabitkan fasal 2 dan 3 Perkara 55 perlu dipinda jika cadangan itu mahu dilaksanakan.
Katanya, pindaan itu bagi memansuhkan fasal berkenaan supaya tiada lagi peranan Perdana Menteri dalam menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk membubarkan Parlimen.
"Pindaan itu membabitkan pembatalan keseluruhan fasal berkenaan.
"Fasal 1 Perkara 55, Perlembagaan Persekutuan menyatakan Yang di-Pertuan Agong hendaklah memanggil Parlimen dari semasa ke semasa dan tidak boleh membiarkan enam bulan berlalu antara persidangan yang akhir dalam satu penggal dengan tarikh yang ditetapkan untuk mesyuarat pertamanya dalam penggal yang berikutnya.
"Fasal 2, Perkara 55 menyatakan Yang di-Pertuan Agong boleh memprorog atau membubarkan Parlimen.
"Fasal 3, Perkara 55, menyatakan melainkan jika dibubarkan terlebih dahulu, Parlimen hendaklah terus berjalan selama lima tahun dari tarikh mesyuarat pertamanya dan selepas itu adalah terbubar," katanya kepada BH.
Syor penggal Parlimen ditetapkan
Kelmarin, Ahli Parlimen Kuala Selangor, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dalam perbahasan di Dewan Rakyat mencadangkan kerajaan mewujudkan segera dasar penggal tetap Parlimen yang menentukan tarikh pilihan raya umum (PRU) secara automatik selepas genap mandat lima tahun bagi sesebuah kerajaan.
Langkah itu, katanya bertujuan memastikan sesebuah kerajaan yang dibentuk selepas pilihan raya, dapat mengekalkan mandat rakyat selama lima tahun tanpa sebarang gangguan.
Muhammad Fathi yang juga Felo Penyelidik Undang-undang dan Perlembagaan, Pusat Kajian Fiqh, Sains dan Teknologi, UTM berkata, ada dua bentuk utama sistem pemerintahan demokrasi iaitu pertamanya berteraskan model United Kingdom dan kedua model Amerika Syarikat.
Katanya, sistem politik di Amerika Syarikat berbentuk penggal pemerintahan tetap iaitu selama empat tahun dan ia membolehkan pilihan raya dijadualkan secara tetap.
"Sistem model United Kingdom yang digunapakai di Malaysia, penubuhan kerajaan tertakluk kepada majoriti sokongan di Parlimen dan sesebuah kerajaan itu akan tamat apabila Parlimen dibubarkan.
"Apabila Parlimen terbubar dengan sendirinya dalam tempoh lima tahun, tetapi boleh dibubar bila-bila masa yang dikehendaki oleh kerajaan. Oleh itu tarikh pilihan raya umum tidak dapat ditetapkan secara berjadual," katanya.
Persoalannya, kata beliau adakah pilihan raya tetap seperti yang dilaksanakan di Amerika Syarikat boleh digunapakai dalam sistem pentadbiran Malaysia yang menggunakan sistem United Kingdom.
"Secara umumnya ia boleh dibuat, tetapi perlu melalui pindaan beberapa peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan seperti dinyatakan tadi," katanya.
Beliau menjelaskan timbul persoalan lain, jika penggal Parlimen ditetapkan kepada lima tahun iaitu adakah Perdana Menteri akan terus kekal walau pun hilang kepercayaan.
Katanya, sebaik-baiknya Perdana Menteri yang hilang kepercayaan diganti dengan Perdana Menteri baharu yang mendapat kepercayaan.
"Pembubaran hanya sebagai jalan terakhir. Untuk mengelakkan risiko ini elok juga difikirkan pelantikan Ahli Parlimen tambahan oleh kerajaan selepas menang Pilihan Raya Umum (PRU) supaya kedudukan seseorang Perdana Menteri lebih kukuh walaupun menang tipis," katanya.