Khamis, 16 Februari 2023 | 7:02pm
Muhammad Sanusi memasang papan tanda sebagai simbolik perasmian nama Kampung Sejahtera yang dulu dikenali dengan nama Kampung Sri Dacing, mukim Teloi, di sini, hari ini. - Foto NSTP/Noorazura Abdul Rahma
Muhammad Sanusi memasang papan tanda sebagai simbolik perasmian nama Kampung Sejahtera yang dulu dikenali dengan nama Kampung Sri Dacing, mukim Teloi, di sini, hari ini. - Foto NSTP/Noorazura Abdul Rahma

Mangsa banjir puing dapat rumah sebelum Ramadan

SIK: Kerajaan negeri memberi jaminan penduduk yang kehilangan kediaman akibat banjir puing di Baling pada Julai tahun lalu akan dapat menduduki rumah baharu mereka sebelum Ramadan ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, berkata projek perumahan di Desa Keda Kampung Sadek, Baling itu sudah hampir siap dan proses cabutan undi membabitkan 12 unit rumah sudah dilakukan baru-baru ini dan penduduk terbabit hanya perlu menunggu rumah itu siap.

"Pegawai Daerah Baling sudah buat cabutan undi untuk 12 lagi rumah, tuan rumah pun sudah tahu rumah yang mana, depa (mereka) dok ulang pi tengok.

"Rumah dah hampir siap, saya janji tidak lebih dari bulan Mac, malah kita pun bayar sewa sampai bulan Mac sahaja, jadi bulan Ramadan ni dah boleh duduk," katanya ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Geran Tanah Peringkat Daerah Sik dan Perasmian Kampung Sejahtera, di sini, hari ini.

Projek perumahan itu dibina bagi menempatkan penduduk yang kehilangan tempat tinggal selepas rumah mereka musnah dalam kejadian banjir dan aliran puing, 4 Julai tahun lepas.

Sebanyak 17 rumah dibina dan pada mulanya projek itu dijadualkan siap Disember tahun lepas, namun berlaku kelewatan.

Buat masa ini, kerajaan negeri menanggung sepenuhnya bayaran sewa bulanan untuk penempatan sementara 17 keluarga yang kehilangan rumah itu.

Sementara itu, Muhammad Sanusi berkata, seramai 123 penduduk di Kampung Sejahtera menerima geran tanah masing-masing selepas 44 tahun menunggu.

Katanya, geran itu diserahkan selepas kerajaan negeri melalui proses undang-undang membuat 'cabut keluar' kampung itu dari kawasan Hutan Simpan Kekal (HSK).

"Semuanya 230 orang, baki yang selebihnya akan dapat selepas mereka bayar premium tanah, mereka akan dapat geran. Ada tanah kebun, tetapi kita tak cabut keluar...yang itu penduduk kena berurusan dengan Jabatan Perhutanan untuk mohon permit penggunaan untuk mereka diberi kebenaran usahakan tanah yang mereka teroka.

"Kawasan lain pun ada lagi, di Baling, di kawasan sekitar Gunung Inas, tetapi proses terhenti sekitar 2014. Kita akan proses yang sudah lama diteroka, bukan yang baharu," katanya.

Dalam perkembangan lain, Muhammad Sanusi Md Nor berkata tidak kisah sekiranya laporan polis dibuat terhadapnya berulang kali berhubung isu pajakan Pulau Pinang dari Kedah.

Beliau berkata, Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer boleh membuat laporan polis 100 kali namun tidak akan dapat mengubah fakta dan sejarah.

Sanusi membidas pemimpin DAP itu dan mendakwanya, individu yang 'buta sejarah' serta tidak memahami proses bayaran bagi pajakan negeri Pulau Pinang kepada Kedah.

"Saya ada fakta. Faktanya adalah bayaran pajakan dibayar oleh Kerajaan Persekutuan bagi pihak Pulau Pinang, RM10juta dan RM10,000 kepada Kedah. Ia bagi bayaran pajakan Pulau Pinang kepada Kedah.

"Kalau betul Pulau Pinang tidak dipajak, (Kerajaan Persekutuan) bayar buat apa, Rayer itu buta sejarah, tidak tahu apa.

"Pergi report polis, report 100 kali pun saya tidak peduli...faktanya macam itu," katanya.

Pada 9 Februari lalu, RSN Rayer dilaporkan membuat laporan polis terhadap Muhammad Sanusikerana mempersoalkan kedaulatan Pulau Pinang.

Rayer berkata, tindakan Muhammad Sanusi dianggap sebagai 'sangat melampau' apabila mempertikaikan kedaulatan Pulau Pinang sebagai sebuah negeri yang telah ditubuh dan diiktiraf mengikut perlembagaan Persekutuan.

Rayer merujuk kepada video di TikTok yang memaparkan Sanusi yang didakwa mempersoalkan kedaulatan Pulau Pinang dengan mengatakan bahawa "negeri itu dipajak dari Kedah."

Berita Harian X