KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) Parlimen ke-15 boleh membuat keputusan sama ada mahu meneruskan siasatan lanjut berkaitan isu perolehan vaksin COVID-19 atau sebaliknya.
Mantan Pengerusi PAC Parlimen (Parlimen Ke-14), Wong Kah Woh, berkata sekiranya mahu meneruskan prosiding siasatan berkenaan ia boleh dilakukan berpandukan penemuan kertas putih yang bakal dibentangkan di Parlimen.
"PAC Parlimen Ke-14 sudah menjalankan prosiding berkenaan dengan isu Perolehan Vaksin COVID-19 dan Penggunaannya Terhadap Rakyat Malaysia serta membentangkan laporan berkenaan pada 1 Disember 2021 dan Laporan PAC berkenaan Tindakan Susulan pada 24 Mac 2022.
"Sekiranya perlu, PAC Parlimen ke-15 yang bakal ditubuhkan oleh Parlimen nanti boleh memutuskan untuk adakan prosiding bagi siasatan lanjut isu perolehan vaksin," katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini mendedahkan perolehan vaksin COVID-19 dan kos yang dimuktamadkan sebelum ini tidak mengikuti peraturan.
Menurutnya, perolehan bagi vaksin itu sudah ditandatangani oleh menteri tanpa mendapat persetujuan daripada Peguam Negara.
Anwar berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) akan membentangkan membentangkan kertas putih mengenai perkara itu di Parlimen.
Berikutan itu, ketika ditanya mengenai isu sama kepada Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menegaskan, kredibiliti PAC menerusi penerbitan laporan isu perolehan vaksin COVID-19 yang sepatut dipersoalkan dan bukannya KKM.
Beliau menjelaskan, ini disebabkan PAC sudah menjalankan prosiding dan memutuskan dalam laporan setebal 521 muka surat bahawa perolehan vaksin berkenaan dibuat secara teratur.
Dalam pada itu, Kah Woh berkata, mengadakan siasatan lanjut terhadap isu yang dibentangkan Laporan PAC ke Parlimen bukanlah satu perkara asing kepada kerajaan, agensi audit mahupun agensi penguatkuasaan.
"Tindakan susulan sebegitu penting dalam mengukuhkan kedudukan PAC sebagai satu institusi semak imbang yang penting," katanya.
Kah Woh pada 1 Disember 2021 dilaporkan berkata, urusan perolehan vaksin dilaksanakan secara teratur mengikut tatacara kewangan yang dibenarkan Kementerian Kewangan.