Khamis, 16 Februari 2023 | 3:33pm

KKR bangunkan infrastruktur pengecas pantas kenderaan elektrik di lebuh raya

AYER KEROH: Kementerian Kerja Raya (KKR) komited membangunkan infrastruktur pengecas pantas kenderaan elektrik (EV) di semua lebuh raya bagi meningkatkan penggunaan kenderaan elektrik dalam negara.

Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, berkata ia susulan pelaksanaan Dasar Tenaga Negara (DTN) 2022-2040 yang dilancarkan kerajaan tahun lalu dengan menggariskan pelan strategik bagi mencapai pengurangan pelepasan Gas Rumah Hijau (GHG) menjelang 2030.

Beliau berkata, ia juga bagi melaksanakan aspirasi kerajaan dalam mencapai Negara Rendah Karbon menjelang 2040 melalui pembangunan EV.

"KKR juga sudah memulakan strategi bagi melaksanakan Pelan Pembangunan Mobiliti Rendah Karbon 2021-2030 yang menggariskan empat Bidang Fokus, 10 Strategi dan 45 Pelan Tindakan untuk sektor pengangkutan darat bagi mencapai pengurangan tenaga serta pelepasan GHG menjelang 2030.

"Antara sasaran yang ditetapkan dalam Pelan Pembangunan Mobiliti Rendah Karbon 2021-2030 adalah mencapai 9,000 poin pengecas arus ganti (AC) dan 1,000 poin pengecas arus terus (DC) di seluruh negara menjelang 2025.

"Selain itu, kita juga mahu memastikan poin pengecas EV pantas dipasang bagi setiap 100 kilometer (km) di sepanjang lebuh raya utama menjelang 2023-2025," katanya selepas merasmikan kemudahan pengecasan berkelajuan tinggi Tenaga Nasional Berhad (TNB) Electron di Kawasan Rehat dan Rawat Ayer Keroh Arah Utara, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Alexander berkata, KKR menyasarkan 20 pengecas pantas kenderaan elektrik DC yang akan dibangunkan oleh pelbagai operator pada tahun 2023 di Lebuhraya Utara Selatan yang menjadi tulang belakang menghubungkan Singapura ke Thailand.

Selain itu, katanya, Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) juga sudah mengenal pasti 63 lokasi poin pengecas pantas kenderaan elektrik DC di R&R serta hentian sebelah yang terpilih di lebuh raya bertol di seluruh negara.

"Saya juga dimaklumkan bahawa 22 pengecas pantas kenderaan elektrik DC sudah beroperasi di seluruh lebuh raya antaranya di R&R Ayer Keroh Arah Utara, R&R Tapah Arah Utara dan R&R Paka Arah Utara di Lebuhraya Pantai Timur Dua (LPT2).

"Pada masa sama, KKR juga sudah memberi beberapa kelulusan di lebuh raya sekitar Lembah Klang dan terdapat 45 lagi permohonan pembangunan poin pengecas pantas kenderaan elektrik dalam semakan dan bakal diluluskan," katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, pengguna pengecas pantas kenderaan elektrik DC TNB Electron dapat menikmati kemudahan terbabit secara percuma sehingga akhir bulan ini di tiga lokasi iaitu R&R Ayer Keroh Arah Utara, R&R Tapah Arah Utara dan R&R Paka Arah Utara di Lebuhraya LPT2.

Namun, katanya, pihak TNB masih mempertimbangkan cadangan untuk melanjutkan tempoh berkenaan kepada hujung April.

"Saya juga menyarankan kepada semua pihak yang terbabit dalam membangunkan infrastruktur pengecas EV di lebuh raya untuk mematuhi garis panduan yang dikeluarkan bagi menjamin keselamatan awam," katanya.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi melancarkan Pengecas Berkelajuan Tinggi TNB Electron bagi kemudahan pemilik kenderaan elektrik di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah utara di Ayer Keroh. - Foto Jamah Nasri
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi melancarkan Pengecas Berkelajuan Tinggi TNB Electron bagi kemudahan pemilik kenderaan elektrik di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah utara di Ayer Keroh. - Foto Jamah Nasri
Berita Harian X