KUALA LUMPUR: Tidak semua rakyat Malaysia yang menjadi mangsa penipuan pekerjaan di luar negara benar-benar terpedaya dengan taktik sindiket, sebaliknya ada antara mereka terkandas disebabkan hutang judi.
Perkara itu dinyatakan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, yang turut mengesahkan ada juga mangsa sememangnya berangkat ke luar negara untuk bekerja dengan sindiket terbabit, sebelum berdepan masalah dan meminta bantuan pihak berkuasa untuk diselamatkan.
Katanya, ia antara empat kategori mangsa dikenal pasti hasil tindakan profil dilakukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) ke atas semua mangsa penipuan pekerjaan atau 'job scam' atau 'love scam' yang diselamatkan dan dibawa pulang ke tanah air.
Beliau berkata, berdasarkan rekod seramai 339 rakyat Malaysia terkandas akibat kes penipuan pekerjaan di negara luar membabitkan antaranya di Laos, Kemboja, Myanmar, Filipina, Thailand dan Dubai.
"Daripada jumlah itu, kita sudah selamatkan 218 orang, manakala 121 lagi masih terkandas. Ketika ini pun pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) ada di Thailand dalam misi menyelamat sama," katanya.
Mengulas empat kategori mangsa, beliau mengakui ada antara mereka yang benar-benar tertarik dengan tawaran iklan kerja di luar negara dan apabila pergi ke sana mendapati keadaan tidak seperti yang dibayangkan.
"Kategori kedua pula, mereka sudah tahu daripada awal akan menjadi 'scammer' dan apabila mencapai KPI (indeks prestasi utama) ditetapkan sindiket dan kutipan disasarkan melalui 'scam' sama ada mata wang kripto dan 'love scam' mereka enggan pulang.
"Apabila tidak capai KPI, mereka kata menjadi mangsa (sindiket penipuan pekerjaan) dan hubungi kita untuk diselamatkan," katanya ketika menjawab soalan tambahan Sim Tze Tzin (PH-Bayan Baru) mengenai langkah kerajaan terhadap ejen yang menjadi orang tengah di Malaysia dalam penipuan pekerjaan di luar negara dan kerjasama kerajaan dengan kerajaan (G2G) dalam isu berkenaan.
Dalam pada itu, Saifuddin turut mengakui ada juga dalam kalangan yang diselamatkan kalah dalam perjudian di luar negara dan terkandas kerana tidak boleh bayar hutang, yang mana turut dibantu pihak berkuasa.
"Yang kita selamatkan itu, ada yang kalah judi dan tak dapat bayar hutang, itu pun kita bantu bawa balik. Selepas kita berjaya bawa balik, tetapi mereka pergi pula (sekali lagi) dan jadi balik (berulang) sebelum minta kita selamatkan sekali lagi.
"Hancur luluh pasukan polis apabila diberitahu mereka ke sana semula dan hubungi polis untuk minta diselamatkan," katanya.