Rabu, 15 Februari 2023 | 9:27pm
Foto hiasan
Foto hiasan

564 rakyat Malaysia mangsa tipu kerja di luar negara

KUALA LUMPUR: Kementerian Luar (KLN) menerima 564 laporan mengenai warganegara Malaysia yang menjadi mangsa sindiket jenayah penipuan tawaran pekerjaan di luar negara, setakat 13 Februari lalu.

KLN berkata, daripada jumlah laporan yang diperoleh menerusi Kedutaan-Kedutaan Besar Malaysia di Bangkok (Thailand), Phnom Penh (Kemboja), Vientiane (Laos) dan Yangon (Myanmar) itu, seramai 401 orang berjaya diselamatkan, dengan 377 orang dihantar pulang.

"Baki 24 orang sedang ditahan di depoh tahanan sementara menunggu proses pengusiran pulang, manakala 163 orang lagi sedang dikesan," katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman sesawang Parlimen, hari ini.

Ia sebagai menjawab soalan Oscar Ling Chai Yew (PH-Sibu) yang antara lain mahu kementerian menyatakan mengapa tindakan tidak diambil untuk membantu menyelamatkan warga Malaysia yang ditipu dan diculik sindiket penipuan pekerjaan di Kemboja dan mengapa Special Task Force tidak ditubuhkan untuk berunding dengan pihak Kemboja.

KLN turut memaklumkan Task Force yang diketuai KLN dan membabitkan agensi berkaitan sudah ditubuhkan bagi menangani isu itu secara bersepadu dan menyeluruh.

Ia adalah kesinambungan kepada usaha berterusan antara pihak kementerian dengan kerjasama Perwakilan Malaysia di luar negara dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang bermula sejak suku pertama 2022 untuk menangani isu itu.

KLN dan PDRM tidak pernah menggalakkan pihak keluarga membayar wang tebusan atau merujuk kepada pihak persendirian mahupun badan bukan kerajaan dalam mengendalikan perkara itu.

"Waris mangsa sentiasa disaran melaporkan kepada pihak PDRM dan merujuk dengan KLN sekiranya ada waris dikenal pasti terbabit dalam sindiket jenayah berkenaan.

"Individu yang menerima tawaran pekerjaan di luar negara digalak membuat semakan tawaran terlebih dahulu dengan kementerian ini, Perwakilan Malaysia atau kedutaan negara berkenaan sekiranya was-was dengan tawaran diterima," katanya. – BERNAMA

Berita Harian X