KUALA LUMPUR: Lesen kebenaran beroperasi Lynas Malaysia Sdn Bhd (Lynas Malaysia) boleh dimansuhkan jika syarikat itu masih menghasilkan sisa radioaktif di negara ini selepas Julai ini.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang, berkata anak syarikat milik penuh Lynas Rare Earths Ltd (Lynas) itu perlu mematuhi syarat yang dikenakan sejak Mac 2020, sepanjang tempoh lanjutan lesen selama tiga tahun.
Katanya, dalam tempoh itu, Lynas masih tetap perlu menjalankan aktiviti pemecahan dan peresapan (C&L)
yang menghasilkan sisa radioaktifdi Australia, namun tiada lagi
aktiviti C&L di projek Lynas Advanced Materials Plant (LAMP) di Gebeng, Kuantan, selepas Julai 2023.
"Aktiviti lain yang tidak membabitkan penghasilan sisa radioaktif dibenarkan untuk terus beroperasi," katanya pada sidang media di lobi Parlimen, hari ini.
Semalam, Lynas memaklumkan Lynas Malaysia menerima notis daripada Jabatan Tenaga Atom bahawa Lembaga Pelesenan Tenaga Atom (AELB) bersetuju meluluskan permohonan bagi pembaharuan lesen operasi syarikat itu, berkuat kuasa dari 3 Mac 2023 untuk tempoh tiga tahun.
Namun, mereka kecewa kerana lesen operasi itu diperbaharui tanpa perubahan kepada syarat yang tertakluk kepada lesen dikeluarkan pada Mac 2020.
Mengulas lanjut, Lih Kang berkata, empat syarat ditetapkan kerajaan, membabitkan aktiviti C&L, penjanaan residu 'water leach purification' (WLP) dan pengimportan pekatan lantanid daripada Australia, bukan perkara baru sebaliknya sudah ditetapkan sejak Mac 2020.
Beliau bagaimanapun berkata, Lynas boleh membuat rayuan jika masih tidak dapat memenuhi syarat ditetapkan.
Katanya, sejak beroperasi di Malaysia pada 2012, Lynas menghasilkan kira-kira 1.08 juta metrik tan sisa radioaktif (residu WLP) dan jumlah ini dijangka mencecah 1.2 juta metrik tan sehingga Julai 2023.
"Kerajaan Perpaduan komited dalam mewujudkan persekitaran mesra perniagaan dan memahami kepentingan industri nadir bumi.
"Namun, tidak ada mana-mana pihak yang berhak untuk menghasilkan sisa radioaktif secara berterusan di tanah air kita. Dalam erti kata lain, tiada lagi sisa radioaktif tambahan daripada Lynas selepas Julai 2023," katanya.
Sehingga 31 Disember 2022, operasi LAMP di Gebeng, Pahang memproses sebanyak 0.698 juta metrik tan pekatan lantanid yang diimport dari Mount Weld, Australia.
Pemprosesan pekatan lantanid itu, menghasilkan kira-kira 1.08 juta metrik tan sisa radioaktif.
Mengenai WLP, Lih Kang memaklumkan, Lynas sudah membina Kemudahan Pelupusan Kekal (PDF), yang ketika ini mencaapi kemajuan 32 peratus dan dijangka siap sebelum Julai depan.
Ketika ini, katanya, sisa yang terhasil di LAMP, disimpan sementara di Kemudahan Penstoran Residu (RSF), di premis kilang.
Beliau juga memaklumkan, selaras dengan ketetapan syarat lesen berhubung pengoperasian loji C&L di luar negara, kementerian melakukan lawatan verifikasi pembinaan loji C&L Kalgoorlie-Boulder pada 20 Disember lalu.
"Setakat ini, kita berpuas hati dan hasil lawatan verifikasi mengesahkan bahawa status pembinaan loji C&L adalah di tahap 80 peratus serta dijangka akan beroperasi pada Julai 2023," katanya.