Rabu, 15 Februari 2023 | 12:40pm
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah. - NSTP/AZIAH AZMEE
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah. - NSTP/AZIAH AZMEE

Isu perolehan vaksin COVID-19: 'Persoalkan kredibiliti PAC, bukan KKM'

SUBANG: Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, menegaskan kredibiliti Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) menerusi penerbitan laporan isu perolehan vaksin COVID-19, yang sepatut dipersoalkan dan bukannya Kementerian Kesihatan (KKM).

Beliau menjelaskan, ini kerana PAC sudah menjalankan prosiding dan memutuskan dalam laporan setebal 521 muka surat bahawa perolehan vaksin berkenaan dibuat secara teratur.

"Perkara ini kita sudah jawab kepada PAC. Ada (laporan setebal) 521 muka surat dan Pengerusi PAC (ketika itu - Wong Kah Woh) pun telah membuat pengumuman dan sebagainya. Malah, siasatan dan sebagainya sudahpun dibentangkan kepada PAC.

"Itu saya kata... kalau kita memberi komen (mengenai isu perolehan vaksin COVID-19) itu akan 'undermining' (merendahkan kredibiliti), bukan KKM tetapi PAC.

"Kalau PAC sudah memberi pandangan, (maka) selesailah. Namun kalau kita hendak persoal, persoal PAC betul atau tidak (laporan hasil siasatan terhadap isu perolehan vaksin COVID-19)," katanya ketika ditemui BH pada Program Inisiatif Pembedahan Global di Pusat Perubatan Subang Jaya (SJMC), di sini, hari ini.

Sebelum ini, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata, dakwaan bahawa perolehan vaksin COVID-19 tidak mengikut peraturan dan ditandatangani tanpa persetujuan Peguam Negara, dimaklumkan sendiri oleh KKM kepada beliau.

Perdana Menteri dipetik berkata, Kabinet memandang serius dakwaan itu selepas dimaklumkan oleh KKM, dan menjadi tanggungjawab badan penguat kuasa seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menentukan kesahihannya.

Sehubungan itu, KKM akan membentangkan Kertas Putih perolehan vaksin dan kos berkaitan, yang sebahagiannya dipercayai tidak mengikut peraturan serta ditandatangani tanpa persetujuan Jabatan Peguam Negara (AGC).

Sementara itu dalam kenyataan pada Disember 2021, Kah Woh dilaporkan berkata, urusan perolehan vaksin dilaksanakan secara teratur mengikut tatacara kewangan yang dibenarkan Kementerian Kewangan (MOF).

Kah Woh berkata, PAC berpuas hati dengan harga perolehan vaksin daripada pelbagai portfolio oleh kerajaan, yang didapati munasabah.

Laporan berhubung isu perolehan vaksin COVID-19 itu diterbitkan ketika PAC dianggotai Kah Woh sebagai Pengerusi daripada DAP dan antara anggotanya ialah bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar daripada PKR.

Berita Harian X