KUALA LUMPUR: Seorang Ahli Parlimen mencadangkan supaya pensijilan program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) diwajibkan kepada banduan yang menjalani tempoh pemenjaraan, khususnya pesalah juvana.
R Yuneswaran (PH-Segamat), berkata langkah itu bagi membolehkan mereka melangkah ke alam pekerjaan selepas tamat tempoh hukuman.
"Pensijilan terbabit berupaya memberi motivasi kepada mereka untuk berdepan dunia yang kini memerlukan kemahiran tertentu selain meningkatkan keyakinan serta kepercayaan majikan untuk menggajikan mereka sebagai pekerja," katanya.
Berucap membahaskan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat hari ini, beliau juga meminta kerajaan menyelesaikan isu sekolah daif yang merencatkan mutu penyampaian pendidikan serta mengganggu motivasi pengajar dan pelajar sehingga memberi kesan kepada pencapaian akademik.
Sementara itu, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (PH-Muar) pula mahu beban guru dikurangkan supaya mereka dapat fokus kepada pengajaran.
Syed Saddiq bersama Datuk Seri Dr Shahidan Kassim (PN-Arau) dan Dr Halimah Ali (PN-Kapar), turut membangkitkan isu peruntukan adil kepada semua Ahli Parlimen bagi memastikan mereka dapat menjalankan tugas sebagai wakil rakyat secara berkesan. - BERNAMA