Selasa, 14 Februari 2023 | 7:30pm
Laporan BH Online semalam mengenai siasatan semula SPRM ke atas kes dakwaan salah guna wang zakat dikaitkan dengan Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS).
Laporan BH Online semalam mengenai siasatan semula SPRM ke atas kes dakwaan salah guna wang zakat dikaitkan dengan Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS).

Dakwaan seleweng wang zakat, MAINS sedia beri kerjasama penuh siasatan semula SPRM

SEREMBAN: Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) mengalu-alukan pihak berkuasa terutama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk membuka semula kertas siasatan berhubung dakwaan penyelewengan wang zakat di negeri ini.

Pengerusi MAINS, Datuk Seri Dr Abdul Aziz Sheikh Abdul Kadir, berkata pihaknya komited untuk memberi kerjasama penuh kepada siasatan yang akan dijalankan oleh pihak berkuasa berkenaan.

Pengerusi MAINS, Datuk Seri Dr Abdul Aziz Sheikh Abdul Kadir.
Pengerusi MAINS, Datuk Seri Dr Abdul Aziz Sheikh Abdul Kadir.

"Kami mengalu-alukan SPRM dan polis untuk membuka semula kertas siasatan dakwaan penyelewengan wang zakat. Isu ini telah disiasat oleh pihak berkuasa bermula 2019 lagi.

"MAINS berharap siasatan dapat dijalankan secara terperinci, tuntas dan tidak akan berkompromi terhadap sebarang ketidakpatuhan pengurusan wang zakat.

"Laporan hasil siasatan juga amat penting bagi membersihkan imej MAINS dan mengembalikan keyakinan masyarakat Islam terhadap tatakelola pengurusan zakat di Negeri Sembilan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Semalam, Pengarah Kanan Siasatan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim mengesahkan kes berkenaan dikaji semula untuk melihat keterangan yang ada.

Siasatan berhubung dakwaan penyelewengan wang zakat MAINS itu disiasat pada 2019 dengan fokus kepada isu rasuah dan salah guna kuasa.

"Kertas siasatan kini dirujuk semula kepada Timbalan Pendakwa Raya dan arahan dikeluarkan untuk dijalankan siasatan lanjut terhadap isu berbangkit," kata Hishamuddin.

Pada 8 Februari, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun dilaporkan berkata, kerajaan negeri menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan berhubung dakwaan terbabit.

Berita Harian X