KOTA KINABALU: Sokongan Barisan Nasional (BN) terhadap Kerajaan Perpaduan Sabah akan memperkukuhkan lagi kerajaan yang diterajui Datuk Seri Hajiji Noor.
Hajiji berkata, pihaknya menyambut baik keputusan dan ketetapan Barisan Nasional (BN) yang menyatakan sokongan terhadap Kerajaan Perpaduan Sabah, yang diterajuinya.
"Ini sangat bagus. Bermakna, kerajaan negeri akan bertambah kukuh dalam konsep Kerajaan Perpaduan yang dipelopori Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Seminar Membangun Malaysia MADANI, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, yang menyatakan BN mengambil ketetapan untuk memberi sokongan dan mendukung Kerajaan Perpaduan Sabah, pimpinan Datuk Seri Hajiji Noor selaku Ketua Menteri.
Zambry berkata, pendirian itu sejajar dengan ketetapan setiap parti di peringkat Persekutuan yang membentuk Kerajaan Perpaduan.
Ditanya mengenai keputusan BN menamakan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Yakub Khan, sebagai wakil UMNO dan gabungan itu dalam perundingan dengan Kerajaan Perpaduan Sabah, Hajiji berkata pihaknya tidak mempunyai sebarang masalah mengenainya.
Hajiji, yang juga Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berkata, beliau terbuka dalam hal seumpama itu, asalnya ia memberi kebaikan kepada rakyat dan negeri Sabah serta seiring program Sabah Maju Jaya (SMJ).
Selain itu, beliau berkata, GRS tidak berdendam dengan UMNO Sabah, ekoran kemelut politik yang berlaku awal bulan lalu.