Selasa, 14 Februari 2023 | 12:08pm
Foto dirakam pada Ogos 2019 menunjukkan sekitar kilang Lynas di Gebeng, Kuantan. - Foto fail NSTP
Foto dirakam pada Ogos 2019 menunjukkan sekitar kilang Lynas di Gebeng, Kuantan. - Foto fail NSTP

Lynas tidak dibenar lakukan aktiviti hasilkan sisa radioaktif selepas Julai

KUALA LUMPUR: Lynas Rare Earths Ltd (Lynas) tidak dibenar menjalankan sebarang aktiviti yang akan menghasilkan sisa radioaktif di negara ini selepas Julai ini.

Perkara itu disahkan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang, selepas permintaan Lynas untuk menggugurkan empat syarat berkaitan aktiviti projek itu tidak dipertimbangkan.

"Lynas sudah dimaklumkan mengenai keputusan Lembaga Pelesenan Tenaga Atom (AELB), yang mana permintaan Lynas untuk menggugurkan empat syarat tidak dipertimbangkan.

"Ia berkaitan aktiviti pemecahan dan peresapan (C&L), penjanaan residu 'water leach purification' (WLP) dan pengimportan pekatan lantanid daripada Australia," katanya melalui hantaran di Twitter, hari ini.

Pada masa sama, Lih Kang berkata, pihaknya akan mengadakan sidang media esok untuk menjelaskan berhubung keputusan terbabit.

Sebelum ini, Lynas mengesahkan anak syarikat milik penuhnya, Lynas Malaysia menerima notis daripada Jabatan Tenaga Atom bahawa AELB bersetuju untuk meluluskan permohonan bagi pembaharuan lesen operasi berkuat kuasa dari 3 Mac 2023 untuk tempoh tiga tahun.

Lesen operasi itu diperbaharui tanpa perubahan kepada syarat yang tertakluk kepada lesen dikeluarkan pada Mac 2020.

Syarat itu dilarang mengimport dan memproses pemekat lantanid selepas 1 Julai 2023.

Berita Harian X