KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menjawab soalan dikemukakan Ahli Parlimen pada sesi Soal Jawab Perdana Menteri (PMQ) buat kali pertama di Dewan Rakyat pagi ini.
"Insya-Allah pagi ini buat kali pertama saya akan menjawab soalan Ahli-Ahli Parlimen dalam Sesi Soal Jawab Perdana Menteri (PMQ) di Dewan Rakyat.
"Untuk pengetahuan semua, sesi ini akan diadakan pada setiap hari Selasa pada Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen Ke-15," katanya dalam Facebooknya hari ini.
Sesi PMQ mula dilaksanakan pada Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen Ke-15 bermula semalam, antara pembaharuan yang dilaksanakan dalam Kerajaan Perpaduan.
Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul, sebelum ini dilaporkan berkata untuk permulaan, sesi itu akan dilaksanakan secara ujian rintis pada setiap Selasa.
Beliau berkata sesi itu dilakukan pada setiap Selasa untuk Perdana Menteri menjawab soalan yang ditujukan kepada beliau dan pada Khamis pula, sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri (MQT).
Semalam Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan berangkat merasmikan istiadat pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen ke-15.
Selesai istiadat berkenaan, Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah diiringi ke Bilik Rehat Diraja di bangunan Parlimen sebelum ke sidang Dewan Rakyat untuk menyampaikan Titah Diraja.
Mengikut takwim di laman rasmi Parlimen, persidangan Dewan Rakyat akan berlangsung mulai 13 Februari hingga 30 Mac dan diikuti persidangan Dewan Negara pada 21 Mac hingga 6 April.
Belanjawan 2023 dijadual dibentangkan Anwar yang juga Menteri Kewangan di Parlimen pada 24 Februari ini.