BANGI: UMNO menyifatkan titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pagi tadi adalah sebagai penting untuk mencapai kestabilan dalam negara.
Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Ahmad Maslan, berkata beliau berada di Dewan Rakyat pagi tadi dan mendengar dengan teliti titah baginda berkenaan kestabilan kerajaan.
"Saya ingin memaklumkan bahawa pada perhimpunan agung UMNO yang lalu, kita telah membuat keputusan untuk menyokong kerajaan perpaduan ini sehingga akhir penggal.
"Apabila kita sokong kerajaan ini sehingga akhir penggal maksudnya itu sahaja Perdana Menteri yang ada supaya wujud kestabilan dalam negara. Apabila stabil politik maka stabil negara dan rakyat akan bekerja lebih baik daripada apa yang berlaku sebelum ini.
"Sebelum ini kita pernah ada seorang Perdana Menteri (berkhidmat) dengan empat Agong, kemudian kita ada Agong dengan empat Perdana Menteri, oleh itu ia adalah suatu kenangan yang tidak dapat dilupakan oleh Agong," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan Majlis Pelancaran Makmal Pengajaran-Industri: Dronecubator-MakerxLab di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di sini, hari ini.
Yang turut hadir Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Penyelidikan dan Inovasi UKM, Prof Datuk Dr Wan Kamal Mujani.
Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan harapan supaya pentadbiran Perdana Menteri ke-10, Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah yang terakhir sebelum baginda menamatkan tugas dan kembali ke Pahang, pada 30 Januari tahun depan.
Al-Sultan Abdullah yang berbicara daripada hati, menyifatkan peristiwa dan pengalaman yang berlaku sepanjang baginda menjadi Yang di-Pertuan Agong, sebagai bersejarah dan sukar untuk dilupakan.
Ia berikutan baginda menjadi satu-satunya Yang di-Pertuan Agong yang memerintah negara dengan empat Perdana Menteri di bawahnya serta empat jemaah menteri yang berlainan, susulan kemelut politik berpanjangan sejak tiga tahun lalu.
Mengulas lanjut Ahmad berkata, ucapan Agong pagi tadi juga mendapat sambutan yang baik daripada Ahli Parlimen dan juga Senator.
"Kita berharap ia bukan hanya disambut dengan baik tapi yang penting apa yang akan berlaku selepas ini adalah kestabilan politik dapat kita capai.
"(Ini kerana) sudah lama kita tidak dapat 148 kerusi (kerajaan) dan dua pertiga sejak 2004. Pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15) lalu barulah kita mendapat 148 kerusi ini," katanya.