Isnin, 13 Februari 2023 | 9:29am
Ketua Penerangan UMNO Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin. - Foto fail NSTP
Ketua Penerangan UMNO Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin. - Foto fail NSTP

Ramasamy perlu hormati kerjasama politik Kerajaan Perpaduan

ALOR SETAR: Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, Dr P Ramasamy diminta bersikap adil, bertanggungjawab dan menghormati konsep kerjasama politik demi memelihara status solidariti Kerajaan Perpaduan ketika ini.

Ketua Penerangan UMNO Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin, berkata Ramasamy sepatutnya menggunakan hak kebebasan memberi cadangan kepada pemimpin negara bagi memberi manfaat dan menjaga keharmonian masyarakat negara ini.

"Merujuk kepada kenyataan peribadi beliau yang menuduh dominasi Melayu dalam perkhidmatan awam baru-baru ini, ingin ditegaskan bahawa tuduhan itu adalah tidak benar dan hanya berteraskan persepsi beliau semata-mata.

"Malah istilah 'dominasi' tidak sepatutnya digunakan Ramasamy untuk menyifatkan amalan pengambilan penjawat awam kerana sistem yang digunakan adalah berdasarkan kelayakan merit, dan bukan berdasarkan kaum, agama atau warna kulit," tegasnya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Shaiful Hazizy berkata, adalah sesuatu yang malang bagi DAP jika kepimpinannya terus mengeluarkan kenyataan tidak rasional, sedangkan terdapat banyak ruang lain bagi menyuarakan cadangan kepada kepimpinan negara yang kini bersikap lebih terbuka.

"Ramasamy sepatutnya menjadikan kelebihan Kerajaan Perpaduan untuk menyuarakan pandangan yang lebih baik bagi memupuk keharmonian dalam kalangan masyarakat, bukan memecah-belahkan.

"Justeru itu, saya meminta Ramasamy agar berlapang dada dan ayuh kita gunakan kelebihan Kerajaan Perpaduan ini untuk membina Malaysia Madani yang lebih dinamik," katanya.

Sebelum ini, Ramasamy dilaporkan berkata, Kerajaan Perpaduan di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim digesa melakukan reformasi dalam sektor perkhidmatan awam supaya ia tidak lagi hanya didominasi oleh satu kaum.

Kenyataan itu mengundang pelbagai kritikan, baik daripada parti kerajaan mahupun pembangkang dengan Anwar juga menegaskan bahawa kerajaannya sama sekali tidak akan mengikut saranan dibuat Ramasamy itu.

Bagaimanapun, Timbalan Pengerusi DAP Pulau Pinang itu hari ini mendakwa, beberapa penerbitan memutar belit hantaran Facebook peribadinya yang meminta pembaharuan dalam sektor perkhidmatan awam negara.

Berita Harian X