SEREMBAN: Timbalan Presiden BERSATU, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, mendakwa ahli UMNO dan DAP sebenarnya masing-masing tidak suka untuk bekerjasama antara satu sama lain dalam Kerajaan Perpaduan.
Beliau yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Perak mendakwa kerjasama antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) lebih menjurus kepada antara dua individu iaitu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
"Bukan PH dan BN yang hendak bekerjasama ini, tapi yang hendak bekerjasama ini ialah Anwar (Perdana Menteri/Presiden PKR) dengan Zahid (Timbalan Perdana Menteri/Presiden UMNO).
"Sebenarnya orang UMNO benci untuk bekerjasama dengan DAP dan orang DAP sebenarnya tidak suka untuk bekerjasama dengan UMNO, tapi mereka ingin menggunakan kuasa yang ada, atau sokongan yang ada pada orang UMNO itu untuk kepentingan mereka.
"Ini adalah agenda perjuangan DAP yang dibawa oleh kedua-dua pemimpin berkenaan, yang mana untuk kepentingan politik mereka semata-mata," katanya kepada pemberita di sini, lewat petang tadi.
Terdahulu beliau menyampaikan ucap utama pada program Semarak Kebangkitan Rakyat PN Negeri Sembilan di Senawang, dekat sini.
Yang turut hadir, Pengerusi PN merangkap Pengerusi Badan Pimpinan Negeri (BPN) BERSATU Negeri Sembilan, Datuk Eddin Syazlee Shith; Setiausaha PN Negeri Sembilan, Nazree Yunus dan Pengerusi BPN BERSATU Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal.
Beliau mengulas mengenai kemungkinan terdapat kerjasama antara PH dan BN dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) di Negeri Sembilan tidak lama lagi.
Mengulas lanjut, Ahmad Faizal berkata, pihaknya yakin dan percaya usaha dan tindakan kedua-dua pemimpin berkenaan adalah semata-mata untuk kepentingan politik masing-masing.
"Jangan sebut (kerjasama) BN-PH (dalam PRN), jangan sesekali menghina penyokong BN/UMNO, yang sebenar mereka telah ditipu oleh pemimpin mereka," katanya.
Mengenai persiapan menghadapi PRN, bekas Menteri Belia dan Sukan itu berkata, PN sedang memperhalusi dari segi pembahagian kerusi di kalangan parti komponen di dalam gabungan itu.
"Perkara itu berjalan dengan lancar dan harmoni serta akan dapat diselesaikan dalam tempoh terdekat.
"Ketika ini fokus kita adalah untuk memperkukuhkan lagi jentera di semua peringkat dan Alhamdulillah, program semarak kebangkitan menarik perhatian ramai," katanya.
Sebelum ini, Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun memaklumkan bahawa kerajaan negeri akan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 1 Jun depan bagi memberi laluan kepada PRN.