KUALA LUMPUR: Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Hamzah Zainudin, menjelaskan bahawa Jawatankuasa Portfolio Ahli Parlimen yang diumumkan minggu lalu, bukanlah Kabinet Bayangan.
Sebaliknya, Hamzah, berkata pengkhususan portfolio itu dibuat bagi membolehkan PN bergerak sebagai sebuah pasukan yang kukuh dan ampuh dalam melakukan tugas semak dan imbang kepada kerajaan membabitkan setiap kementerian.
Katanya, dengan wujudnya portfolio berkenaan, rakyat akan dapat melihat perbahasan, kritikan serta lontaran idea yang berkualiti daripada PN dalam sesi persidangan Parlimen yang bermula esok.
"Pembentukan portfolio itu adalah manifestasi bahawa PN sudah sedia sebagai pembangkang yang kredibel, bertanggungjawab, berkesan, efektif, wibawa dan berintegriti tinggi.
"Portfolio ini adalah tanggungjawab berkumpulan. Ketua-ketua portfolio akan dibantu oleh ahli jawatankuasa portfolio yang terdiri daripada Ahli Parlimen PN yang lain," katanya menerusi hantaran di laman Facebook miliknya, hari ini.
Beliau berkata, pasukan itu akan melangkah secara sederap dan seirama dalam menegur, menyatakan pandangan serta tidak terkecuali memberi sokongan terhadap perkara yang baik di bawah pentadbiran Perdana Menteri Ke-10.
"Saya sedar bahawa kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) belum sampai 100 hari memerintah tetapi sudah banyak persoalan yang ditimbulkan rakyat.
"Satu demi satu kelemahan dan ketidakcekapan pentadbiran serta pencabulan kuasa muncul yang menimbulkan kegelisahan dalam kalangan rakyat," katanya.
Hamzah juga berkata, isu yang melingkari kos sara hidup rakyat tidak mampu ditangani dengan berkesan oleh kerajaan PH-BN hari ini.
"Jumlah miskin bandar semakin meningkat dan kumpulan B40 makin membesar serta kini sudah menjadi sehingga kumpulan B52.
"Tetapi Perdana Menteri Ke-10 tetap khayal dengan bahasa-bahasa puitis dan melenkolik," katanya.
Katanya, isu bekalan telur masih belum selesai dan harga sayur kini meningkat sehingga 160 peratus.
"Bila ada isu bekalan telur, timbalan menteri boleh kata "Tidak boleh paksa ayam bertelur", bila harga ayam mahal, menteri kata "sepatutnya kena kurangkan makan ayam."
"Maka, di sinilah pentingnya peranan PN dalam melakukan semak dan imbang," katanya.
Minggu lalu, Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin, mengumumkan barisan 'Kabinet' mereka yang akan menyelaraskan pengurusan parti itu sebagai pembangkang di Parlimen.
Berdasarkan poster Jawatankuasa Portfolio itu, Muhyiddin dinamakan sebagai Ketua Ahli Parlimen dan Tan Sri Abdul Hadi Awang sebagai timbalannya.
Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, mengetuai portfolio Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim dan 25 ahli Parlimen PN lagi mengisi portfolio lain.