KUALA TERENGGANU: PAS bersedia menghadapi apa juga kemungkinan susulan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu menolak bantahan awal dikemukakan Tan Sri Abdul Hadi Awang untuk membatalkan petisyen keputusan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) bagi Parlimen Marang difailkan calon Barisan Nasional (BN).
Naib Presiden PAS, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai keputusan itu.
"Kita sendiri pun belum tahu dan mendapat maklumat lanjut mengenai keputusan Mahkamah Pilihan Raya tetapi kita bersedia untuk menghadapi apa juga keputusan," katanya kepada media ketika ditemui selepas merasmikan Anugerah Pingat Emas Yayasan Terengganu (YT) ke-42, hari ini.
Yang turut hadir Setiausaha Kerajaan negeri, Tengku Seri Bijaya Raja Datuk Tengku Farok Hussin Tengku Abdul Jalal, Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi, Datuk Satiful Bahari Mamat dan Pengarah YT, Datuk Mohd Azmi Mohamad Daham.
Ahmad Samsuri yang juga Menteri Besar berkata demikian ketika mengulas keputusan Mahkamah Pilihan Raya yang menolak bantahan awal dikemukakan Abdul Hadi yang membatalkan petisyen PRU15 bagi Parlimen Marang yang difailkan calon Barisan Nasional (BN).
Hakim Datuk Hassan Abdul Ghani membuat keputusan itu selepas mendengar hujahan daripada Wan Rohimi Wan Daud yang mewakili Abdul Hadi (responden) dan Datuk Mohd Hafarizam Harun yang mewakili Jasmira Othman sebagai pempetisyen secara dalam talian hari ini.
Hassan turut memerintahkan Abdul Hadi membayar kos sebanyak RM20,000 kepada pempetisyen.
Mahkamah kemudian menetapkan 6 hingga 21 Mac sebagai tarikh perbicaraan penuh bagi petisyen berkenaan.