JOHOR BAHRU: Jabatan Imigresen kini dalam proses membuat penstrukturan semula bagi menjadikan jabatan itu lebih kompeten dan cekap.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, kertas cadangan bagi penstrukturan semula jabatan itu sudah dihantar kepada Kementerian Dalam Negeri dan akan diserahkan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dalam masa terdekat.
Katanya, penstrukturan semula jabatan itu mendapat sokongan penuh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan dijangka mendapat kelulusan pada Julai nanti sebelum dilaksanakan tahun ini.
"Pihak kemeterian dan menteri menyokong penuh penstrukturan semula ini kerana ia akan mewujudkan satu peluang kerjaya yang lebih baik dari segi kenaikan pangkat pegawai-pegawai Imigresen dari skim Perkhidmatan dan Pertahanan Awam ini," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas membuat tinjauan pelaksanaan Pasukan Khas Tindak Cepat (QRT) di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di sini, hari ini.
Menurut Khairul Dzaimee, langkah ini juga membolehkan Jabatan Imigresen menarik bakat-bakat yang mempunyai kelulusan lebih tinggi yang berminat menyertai jabatan itu.
Katanya, beliau yakin perkara ini bakal menarik minat umum untuk menyertai agensi penguat kuasa itu kerana mempunyai laluan kerjaya jangka panjang yang lebih terjamin.
Sementara itu, Khairul Dzaimee berkata, buat masa ini, jumlah keanggotaan jabatan itu masih mencukupi dan dapat menampung keperluan jabatan untuk berfungsi sebaiknya.