KUALA LUMPUR: Ahli BERSATU wajar mengingatkan presidennya (Tan Sri Muhyiddin Yassin) supaya tidak bersifat bermuka-muka mengenai siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap parti itu.
Pengarah Komunikasi Pakatan Harapan (PH), Fahmi Fadzil berkata, ketika ini biar SPRM melakukan tugas mereka untuk menyiasat.
"Sesuatu perkara yang dianggap adil pada masa dahulu perlu juga dianggap adil sekarang.
"Sesiapa sahaja boleh lakukan laporan jika mereka mahu," katanya ketika mengulas mengenai ahli BERSATU Puchong yang membuat laporan kepada SPRM berhubung Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Naisonal (BN) belanja 'mewah' pada Pilihanraya Umum ke 15 (PRU15).
Media sebelum ini melaporkan SPRM membekukan beberapa akaun milik parti BERSATU.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, akaun terbabit dibekukan untuk membantu siasatan ke atas wang yang disyaki daripada hasil haram (illegal proceeds).
"Siasatan sedang dijalankan mengikut Akta SPRM 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram," katanya.
Selain itu, Fahmi berkata, Pakatan Harapan (PH) belum mengadakan sebarang perbincangan untuk menerima Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG) menyertai gabungan itu.
Katanya, isu pergolakan dalaman pasti akan ada dalam mana-mana parti politik.
"Isu dalaman parti kita tidak akan masuk campur, fokus bagi PH ketika ini adalah untuk mengukuhkan kerajaan perpaduan.
"Kaji selidik yang diterbitkan oleh Merdeka Center baru-baru ini menjadi kayu ukur dan kejayaan awal bagi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, tetapi ianya juga memberi ruang untuk kami bermuhasabah.
"Banyak yang perlu kita lakukan untuk segera menyelesaikan masalah rakyat. Sesiapa yang ingin bersama dalam hal ini, mereka perlu berbincang dengan pimpinan utama," katanya.