Ahad, 12 Februari 2023 | 2:31pm

'Ramasamy memang mulut celupar, tak perlu layan'

KUALA LUMPUR: Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang II, Dr P Ramasamy disifatkan sebagai bermulut celupar selepas pemimpin DAP itu menggesa Kerajaan Perpaduan menamatkan dominasi Melayu dalam sektor perkhidmatan awam.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, menegaskan tidak perlu melayan kenyataan Ramasamy yang didakwa memang terkenal dengan keceluparannya.

Beliau yakin pimpinan tertinggi DAP akan menguruskan perkara itu dan menyerahkan sepenuhnya kepada mereka untuk memilih tindakan yang wajar terhadap Ramasamy.

"Beliau memang dikenali sebagai 'loose canon'. Kita tidak perlu layan kenyataan dia.

"Biarlah kepemimpinan partinya yang menangani perkara ini", katanya pada sidang media selepas menghadiri rumusan bengkel dan hala tuju strategik Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) di sini, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Ramasamy menerusi Facebook kelmarin, yang meminta Kerajaan Perpaduan melaksanakan reformasi dalam sektor perkhidmatan awam yang didominasi kaum Melayu ketika ini.

Ramasamy berkata, alasan kononnya penyertaan ramai orang Melayu dalam sektor awam bagi mengimbangi dominasi kaum Cina dalam ekonomi, seperti dinyatakan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, tidak lagi boleh diguna pakai.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam menegaskan Kerajaan Perpaduan tidak melihat isu dominasi kaum Melayu dalam sektor perkhidmatan awam sebagai satu masalah ketika ini, sekali gus tidak akan mempertimbangkan gesaan Ramasamy.

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke, pula menegaskan Ramasamy tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan sebegitu, dan akan menggunakan saluran dalaman parti dalam menangani gesaan pelbagai pihak yang mengecam dan mahu tindakan dikenakan terhadap Ramasamy.

Susulan itu, Ramasamy hari ini mendakwa beberapa penerbitan memutar belit hantaran Facebook peribadinya, dan menegaskan cadangannya itu adalah atas dasar semangat membawa perubahan yang bermakna kepada amalan tadbir urus, bukan bersifat perkauman.

Berita Harian X