Ahad, 12 Februari 2023 | 1:58pm
Dr P Ramasamy (kiri) dan Anthony Loke.
Dr P Ramasamy (kiri) dan Anthony Loke.

DAP ada cara selesai kritikan, gesaan pecat Ramasamy, kata Loke

KUALA LUMPUR: DAP akan menggunakan saluran dalaman parti dalam menangani gesaan pelbagai pihak yang mengecam dan mahu tindakan dikenakan terhadap Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, Dr P Ramasamy.

Ia berikutan kenyataan Timbalan Pengerusi DAP Pulau Pinang itu supaya Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memecahkan monopoli dalam sektor perkhidmatan awam.

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke, berkata adalah tidak sepatutnya beliau mengeluarkan kenyataan sebegitu yang dilihat hanya menambah masalah dalam kerajaan.

"DAP ada cara menguruskan hal dalaman kita. Jadi apa saja pandangan daripada rakan-rakan (parti dalam kerajaan) saya ucap terima kasih. Kami akan menangani sebarang isu menggunakan saluran DAP dan dengan pendekatan kami sendiri.

"Jadi, saya mahu memberikan peringatan ini supaya pemimpin DAP di semua peringkat tidak perlu menimbulkan apa-apa lagi polemik dalam masyarakat," katanya pada sidang media di ibu negara hari ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Seremban berkata, pemimpin parti itu wajar cepat mengubah cara fikir mereka, iaitu sebagai pemimpin dalam kerajaan bukan lagi bertindak seperti pembangkang.

"DAP berada dalam kerajaan bukan saja negeri tapi juga persekutuan. Jadi bila kita ada dalam kerajaan, kita harus bertindak dan berfikir sebagai parti kerajaan. Ini memerlukan perubahan minda dan anjakan paradigma yang sudah tentu mengambil sedikit masa.

"Tidak guna membangkitkan masalah saja. Kita mesti mencari jalan penyelesaian, sebab kita sebahagian daripada kerajaan.

"Jadi bagi saya, mana-mana pemimpin yang menimbulkan apa-apa polemik dalam masyarakat kita, seharusnya tahu persekitaran sentimen politik dalam negara kita ini tidak produktif langsung dan (kenyataan seumpama itu) tidak akan ke mana-mana," katanya.

Sebelum ini, Ramasamy dilaporkan berkata, Kerajaan Perpaduan di bawah kepemimpinan Anwar digesa melakukan reformasi dalam sektor perkhidmatan awam supaya ia tidak lagi hanya didominasi oleh satu kaum.

Kenyataan itu mengundang pelbagai kritikan baik daripada parti kerajaan mahupun pembangkang dengan Anwar juga menegaskan bahawa kerajaannya sama sekali tidak akan mengikut saranan dibuat Ramasamy itu.

Bagaimanapun, Timbalan Pengerusi DAP Pulau Pinang itu hari ini mendakwa beberapa penerbitan memutar belit hantaran Facebook peribadinya yang meminta pembaharuan dalam sektor perkhidmatan awam negara.

Berita Harian X