Ahad, 12 Februari 2023 | 1:36pm
Dr P Ramasamy. - Foto NSTP/Mikail Ong
Dr P Ramasamy. - Foto NSTP/Mikail Ong

AMK Pulau Pinang pula desak Ramasamy lepaskan jawatan

GEORGETOWN: Desakan terus diberikan terhadap Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, Dr P Ramasamy untuk melepaskan jawatan dengan segera berikutan sering mengeluarkan kenyataan kontroversi yang disifatkan tidak lagi boleh diterima.

Terkini desakan oleh Angkatan Muda Keadilan (AMK) Pulau Pinang yang mahu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perai itu meletak jawatan.

Ketua Penerangan AMK negeri, Abshar Nurasyraf, berkata kenyataan terbaharu itu tidak lagi boleh diterima dan disifatkan hanya mahu mencari publisiti murahan.

"Sepatutnya dalam usaha negara menuju ke arah sebuah negara Madani, sebagai pemimpin nombor dua di Pulau Pinang beliau harus lebih peka dan berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan.

"Ini bukan kali pertama beliau (Ramasamy) mengeluarkan kenyataan sebegini, malah sudah berulang kali.

"Berhubung isu ramai perjawatan berbangsa Melayu bukanlah satu isu besar sebaliknya beliau cuba mencurah minyak ke api bertujuan hanya untuk mencari perhatian dan sokongan murahan pihak-pihak tertentu," katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelasnya, kenyataan Ramasamy juga tidak akan menguntungkan kerajaan, rakyat mahupun negara malah sekadar menjadi liabiliti terhadap semua pihak.

Media sebelum ini melaporkan kenyataan Ramasamy bahawa Kerajaan Perpaduan di bawah kepemimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim digesa melakukan reformasi dalam sektor perkhidmatan awam, supaya ia tidak lagi hanya didominasi oleh satu kaum.

Katanya, perdebatan bahawa penyertaan ramai orang Melayu dalam sektor awam, bagi mengimbangi dominasi kaum Cina dalam ekonomi seperti dinyatakan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, tidak lagi boleh diguna pakai.

Sementara itu, Ramasamy dalam satu kenyataan hari ini mendakwa beberapa penerbitan memutar belit hantaran Facebook (FB) peribadinya yang meminta pembaharuan dalam sektor perkhidmatan awam negara.

Beliau berkata, cadangannya yang meminta untuk melakukan pembaharuan adalah atas dasar semangat membawa perubahan yang bermakna kepada amalan tadbir urus.

Menurutnya, Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Openg dan jurucakap G25 Noor Faridah Mohd Ariffin sebelum ini juga mencadangkan pembaharuan dalam perkhidmatan awam sebelum ini.

Berita Harian X