Ahad, 12 Februari 2023 | 12:05pm
Dr P Ramasamy
Dr P Ramasamy

Ramasamy dakwa kenyataan diputar belit

KUALA LUMPUR: Timbalan Pengerusi DAP Pulau Pinang, Dr P Ramasamy mendakwa beberapa penerbitan memutar belit hantaran Facebook peribadinya yang meminta pembaharuan dalam sektor perkhidmatan awam negara.

Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang II itu berkata, cadangannya yang meminta untuk melakukan pembaharuan adalah atas dasar semangat membawa perubahan yang bermakna kepada amalan tadbir urus.

"Perkara yang menggesa perubahan kepada amalan tadbir urus, tidak sama dengan 'memecahkan monopoli orang Melayu'.

"Tetapi malangnya, ahli politik beberapa parti komponen Pakatan Harapan (PH) cuba mentafsir semula berita terpakai di media untuk memberikan sifat perkauman kepada hujah saya berkenaan reformasi dalam perkhidmatan awam.

"Inilah yang berlaku apabila kebenaran diputar-belitkan dengan konteks kutukan perkauman dan ekstremisme agama," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab kenyataan beberapa ahli politik yang menggesa beliau dipecat berikutan kenyataan kontroversinya yang mencadangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memecahkan monopoli orang Melayu dalam sektor awam.

Ramasamy dilaporkan berkata, Kerajaan Perpaduan di bawah kepemimpinan Anwar, digesa melakukan reformasi dalam sektor perkhidmatan awam, supaya ia tidak lagi hanya didominasi oleh satu kaum.

Katanya, perdebatan bahawa penyertaan ramai orang Melayu dalam sektor awam, bagi mengimbangi dominasi kaum Cina dalam ekonomi seperti dinyatakan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, tidak lagi boleh diguna pakai.

Ramasamy berkata, Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Openg dan jurucakap G25 Noor Faridah Mohd Ariffin sebelum ini juga mencadangkan pembaharuan dalam perkhidmatan awam sebelum ini.

"Menggesa supaya tindakan terhadap saya tidak akan menyembunyikan masalah sebenarnya yang wujud berkenaan perkara ini.

"Dalam kes ini, kebenaran mengenai perkhidmatan awam kelihatan tidak menyenangkan bagi mereka yang ingin mengukuhkan status quo sedia ada dalam perkhidmatan awam," katanya.

Katanya, pandangannya berkenaan perkhidmatan awam adalah pandangan peribadi, sekali gus ia tidak menggambarkan kedudukan parti atau pemimpinnya.

Berita Harian X