Ahad, 12 Februari 2023 | 10:45am
Penduduk tempatan melintasi sebuah bangunan yang musnah akibat bencana gempa bumi melanda sekitar kawasan selatan Turkiye ketika tinjauan di Hatay, Turkiye. - Foto NSTP/Aizuddin Saad
Penduduk tempatan melintasi sebuah bangunan yang musnah akibat bencana gempa bumi melanda sekitar kawasan selatan Turkiye ketika tinjauan di Hatay, Turkiye. - Foto NSTP/Aizuddin Saad

Wartawan sertai misi kemanusiaan Turkiye rasai gegaran kuat

ISKENDERUN, TURKIYE: Dua kali gegaran kuat yang cukup mendebarkan hingga menyebabkan setiap objek bergerak, bergegar dan terjatuh.

Itu pengalaman cemas dirasai wartawan di wilayah ini yang sedang mengikuti misi kemanusiaan gempa bumi Turkiye-Syria bersama pertubuhan kemanusiaan merentasi sempadan, Muslim Care Malaysia (MCM).

Kejadian kira-kira jam 3.21 pagi (waktu tempatan) semalam ketika kebanyakan individu sedang tidur menyebabkan wartawan bersama jurugambar dan sukarelawan lain segera berpindah ke bilik kayu.

Pasangan adik beradik yang mencari ahli keluarga beliau tertimbus dibawah runtuhan bangunan akibat bencana gempa bumi yang melanda sekitar kawasan selatan Turkiye ketika tinjauan di Hatay, Turkiye. - NSTP/Aizuddin Saad

Ia adalah usaha menyelamatkan diri sekiranya berlaku runtuhan atau kejadian tidak diingini selepas terjaga daripada tidur akibat katil yang digunakan turut bergegar.

Dalam kekalutan itu wartawan yang tinggal di rumah milik sukarelawan Malaysia berusaha bertenang selain berdoa supaya tidak berlakunya runtuhan.

Selepas hampir 20 minit dan keadaan menjadi semakin tenang serta tidak berlaku lagi gegaran susulan, wartawan menarik nafas lega dan memanjatkan kesyukuran ke hadrat Ilahi.

Difahamkan, berlaku gempa susulan di beberapa wilayah di sana namun dengan magnitud yang agak rendah.

Penduduk setempat serta sukarelawan mengambil sumbangan bekalan makanan yang disediakan oleh NGO tempatan selepas bencana gempa bumi yang melanda sekitar kawasan selatan Turkiye ketika tinjauan di Hatay, Turkiye. - NSTP/Aizuddin Saad

Gegaran itu turut dirasai rakan media yang berada di Gaziantep selain dipercayai dirasai di hampir semua lokasi di negara itu.

Wartawan yang tidak lagi dapat menyambung tidur ketika itu segera keluar dari rumah sejurus keadaan mulai tenang dan mendapati ramai penduduk memilih tidur dalam kereta di kawasan parkir.

Bagi sukarelawan MCM, Mohamed Hisham Mohamed Hisa, gegaran berlaku ketika dia sedang nyenyak tidur selepas menyampaikan misi bantuan.

"Ini pengalaman pertama saya, memang sangat mendebarkan kerana goncangan berlaku dengan kuat ketika saya tidur.

"Pada hari pertama ada berlaku goncangan tetapi tidak sekuat yang berlaku hari ini," katanya.

Adnan 54, menunjukkan rumahnya yang musnah akibat gempa bumi yang melanda sekitar kawasan selatan Turkiye ketika tinjauan di Hatay, Turkiye. - Foto NSTP/Aizuddin Saad
Adnan 54, menunjukkan rumahnya yang musnah akibat gempa bumi yang melanda sekitar kawasan selatan Turkiye ketika tinjauan di Hatay, Turkiye. - Foto NSTP/Aizuddin Saad

Sementara itu, jurugambar New Straits Times Press Berhad (NSTP), Aizuddin Saad, berkata selepas merasai gegaran, pemilik rumah yang juga sukarelawan tempatan terus naik ke tingkat atas bagi memastikan keadaan selamat.

"Walaupun tidak mengalami sebarang kecederaan namun kami semua sentiasa dalam keadaan siap siaga berikutan beberapa gempa susulan yang berlaku," katanya.

Pihak Berkuasa Pengurusan Bencana dan Kecemasan (Afad) Turkiye melaporkan lebih 243 gegaran susulan berlaku di wilayah sempadan Turkiye-Syria setakat ini.

Berdasarkan laman web Afad, gegaran yang berlaku semalam adalah di wilayah Kirikhan dengan kekuatan 4.2 skala Richter.

Ahli keluarga mangsa menunggu ketibaan van ambulans membawa keluar jenazah dari kawasan bencana gempa bumi yang melanda sekitar kawasan selatan Turkiye ketika tinjauan di Hatay, Turkiye. - NSTP/Aizuddin Saad

Berita Harian X