Sabtu, 11 Februari 2023 | 8:51pm
Platform buku digital tanpa had Cereka untuk bakat tempatan menjana pendapatan dan menggalakkan penghasilan kandungan buku digital di pasaran. - Foto Amanz Media Sdn Bhd
Platform buku digital tanpa had Cereka untuk bakat tempatan menjana pendapatan dan menggalakkan penghasilan kandungan buku digital di pasaran. - Foto Amanz Media Sdn Bhd

Platform buku digital tanpa had Cereka, jana pendapatan penulis tempatan

KUALA LUMPUR: Amanz Media Sdn Bhd melancarkan aplikasi pustaka digital, Cereka, sebagai platform untuk bakat tempatan menjana pendapatan dan menggalakkan penghasilan kandungan buku digital di pasaran.

Cereka adalah aplikasi yang menawarkan akses bacaan tanpa had kepada kandungan buku digital keluaran penerbit dan penulis tempatan seperti novel, buku, cerpen dan certot (cereka ringkas).

Pengasasnya, Aman Firdaus Abul Hassan, berkata platform itu secara inovatif mengguna pakai model perniagaan seperti Netflix yang menyediakan satu pelan langganan rendah untuk pelanggan menikmati akses tanpa had.

Katanya, ia sekali gus menyelesaikan masalah kekangan pendapatan dijana penerbit buku digital tempatan yang bergantung sepenuhnya kepada jualan buku dalam talian atau kadar komisyen 'flip per page' di pasaran.

"Oleh demikian, ada syarikat penerbit (buku digital) yang menjana pendapatan tak sampai RM100 sebulan, menyebabkan pasaran kandungan buku digital tidak menarik untuk dikembangkan dan tidak mampu memberikan pulangan kepada penulis tempatan.

"Di Cereka, selain bekerjasama dengan syarikat penerbit buku tempatan, kami juga membuka ruang kepada penulis tempatan menjana pendapatan dengan menyenaraikan hasil tulisan mereka terus ke platform ini.

"Buku yang dicetak sukar diubah dan cetakan terhad, maka penulis lebih gemar memilih platform Cereka untuk menguji faktor pelaris dengan mengubah muka depan buku mengikut trend terkini dan dipasarkan lebih meluas," katanya dalam kenyataannya di sini.

Cereka kini boleh dimuat turun bagi sistem operasi iOS dan Android yang mana ia menyediakan dua jenis kandungan bacaan digital iaitu kandungan percuma dan kandungan premium menerusi langganan bulanan RM4.90 sebulan, atau tahunan RM49.90.

Mengulas lanjut, beliau berkata, kumpulan media itu menyasarkan sumbangan sebanyak 50 peratus daripada aplikasi Cereka kepada keseluruhan pendapatan syarikat menjelang lima tahun.

Katanya, ia strategi syarikat meningkatkan sumbangan bukan teras dengan mencartakan pertumbuhan syarikat di luar perniagaan tradisinya yang kini diterajui tujuh portal penerbitan dalam talian.

"Menjelang tempoh lima tahun, model perniagaan syarikat turut berkembang yang mana kami kini aktif melabur dalam beberapa syarikat pemula lain dan produk baharu yang akan kami tawarkan ke pasaran kelak, seperti Cereka.

"Kami sasarkan mencapai 10,000 pelanggan Cereka menjelang setahun, bahkan harta intelek novel yang kami miliki juga akan dikembangkan kepada produk bernilai tinggi lain seperti drama, podcast dan pelbagai lagi," katanya.

Berita Harian X