AMPANG: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia menemui seorang daripada dua kanak-kanak lelaki yang dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam longkang di Jalan Ukay Perdana, Ukay Perdana, di sini, petang tadi.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Datuk Norazam Khamis berkata, mangsa pertama, Wan Muhammad Ammar Wan Mohd Noor Hafizan, 8, ditemui jam 6.30 petang pada jarak 200 meter dari lokasi dia dipercayai terjatuh.
"Kerja-kerja menyelamat mangsa kedua, Muhammad Rizqullah Mohd Shafie, 10, sedang giat dijalankan," katanya ketika dihubungi, hari ini.
Norazam berkata, kejadian dipercayai berlaku ketika dua kanak-kanak itu dikatakan bermain air di kawasan longkang sebelum tergelincir dan dihanyutkan arus.
Terdahulu, beliau berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu jam 4.44 petang tadi.
"Seramai sembilan anggota bersama dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ampang dikejarkan ke lokasi kejadian.
"Sebaik tiba, kami dimaklumkan terdapat dua kanak-kanak lelaki masing-masing berusia lapan dan 10 tahun dipercayai hanyut di dalam longkang," katanya.