Sabtu, 11 Februari 2023 | 6:30pm
Antara wanita warga asing yang ditahan dalam serbuan Jabatan Imigresen kerana melakukan persundalan - Foto Ihsan Imigresen
Antara wanita warga asing yang ditahan dalam serbuan Jabatan Imigresen kerana melakukan persundalan - Foto Ihsan Imigresen

'Mummy' guna pas lawatan sosial jadi dalang sindiket pelacuran

KUALA LUMPUR: Jabatan Imigresen menumpaskan satu sindiket pelacuran didalangi warga asing dengan penahanan 36 individu dalam serbuan di sekitar Lembah Klang pada 9 Februari lalu.

Dalam serbuan pada jam 11.30 malam, JIM menyerbu tiga premis pusat hiburan dan rumah transit di sekitar Lembah Klang.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud, berkata dalam serbuan itu, pihaknya menahan 27 wanita Indonesia, dua wanita Vietnam dan empat wanita Thailand.

"Kami turut menahan seorang lelaki warga Bangladesh yang juga pelanggan dan dua lelaki tempatan bekerja sebagai penjaga premis. Semua individu yang ditahan berusia antara 18 hingga 34 tahun.

"Kami turut merampas telefon bimbit, bungkusan kondom, pelincir, alat seks, kad akses bilik dan kunci premis.

"Notis untuk hadir memberi keterangan juga dikenakan kepada pelanggan tempatan yang berada di dalam premis ketika serbuan dijalankan bagi membantu siasatan," katanya dalam kenyataan, semalam.

Khairul Dzaimee berkata, hasil risikan mendapati sindiket itu didalangi seorang wanita warga Indonesia yang digelar sebagai 'Mummy'.

Katanya, individu berkenaan berperanan menjaga dan menguruskan wanita warga asing menjalankan aktiviti pelacuran di beberapa premis hiburan.

"Wanita itu masuk ke Malaysia menggunakan pas lawatan sosial yang diberikan untuk tujuan melancong, tetapi mereka menyalahgunakan dokumen berkenaan untuk menjalankan aktiviti tidak bermoral di negara ini.

"Selain itu, kita turut mengesan ada antara yang ditahan menggunakan pas lawatan sosial (PLS) dalam beberapa kategori pasangan iaitu kepada warganegara, pengiring kepada pesakit dan pas pengajian sebagai juruterapi spa.

"Ada juga antara mereka memiliki dokumen akuan penerimaan bagi urusan Program Rekalibrasi Tenaga Kerja (RTK)," katanya.

Beliau berkata, hasil aktiviti pelacuran, sindiket itu berjaya mengaut keuntungan dianggarkan sebanyak RM2.8 juta.

"Modus operandi sindiket ini adalah menjanjikan pekerjaan kepada wanita warga asing yang diatur kemasukan ke Malaysia untuk dijadikan pekerja seks.

"Bagi urusan kemasukan, mereka dipercayai perlu membayar antara RM5,000 hingga RM6,000 kepada pihak ejen," katanya.

Katanya, semakan melalui sistem JIM ke atas semua tahanan mendapati, lima warga asing terdiri daripada seorang wanita Vietnam dan 4 wanita Indonesia berada dalam senarai hitam JIM.

"Mereka dipercayai memasuki negara ini melalui sindiket yang menyeludup kemasukan PATI ke Malaysia. Ada juga wanita yang ditangkap dan ditahan sebelum ini dan masih di dalam perbicaraan di mahkamah.

"Melalui semakan yang dijalankan juga mendapati terdapat cap PLS yang disyaki palsu yang dimiliki oleh warga asing terbabit," katanya.

Menurutnya, kadar bayaran bagi mendapatkan perkhidmatan seks yang ditawarkan adalah antara RM400 hingga RM500 satu jam.

"Semua individu itu ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963," katanya.

Katanya, semua tahanan warga asing ditahan di Depot Imigresen Semenyih, Selangor dan dua suspek tempatan ditahan untuk siasatan di bawah akta sama.

Berita Harian X